NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bantah laluan ECRL, penduduk Gombak Utara cadang mohon injunksi mahkamah

Pihak Sekretariat Selamatkan Tanah Warisan Gombak dan Ummah mengadakan sidang media selepas pertemuan dengan lebih 50 penduduk terkesan di Kampung Sg Chinchin, Gombak.



GOMBAK: Penduduk 13 buah kampung di Gombak Utara yang terjejas dengan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bercadang memohon injunksi di mahkamah sekiranya kata sepakat gagal dicapai antara penduduk, kerajaan dan pemaju.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Mohd Zai Mustafa berkata, sekiranya penduduk, kerajaan dan pemaju gagal mencapai kata sepakat agar projek itu tidak melalui 13 kampung berkenaan, tandatangan penduduk, NGO, pakar-pakar serta ahli akademik akan dikumpul minggu ini.

Seterusnya, pihak peguam akan melengkapkan dokumen untuk memfailkan permohonan injunksi di mahkamah, katanya.

“Dalam pertemuan kita dua minggu lepas dan hari ini, kita menegaskan bahawa kita tidak bersetuju jajaran ECRL melalui kawasan ini, kita minta lalu kawasan lain,” katanya.

“Sekiranya tidak mendapat kesepakatan antara penduduk, wakil agensi kerajaan negeri dan pihak ECRL maka kita akan meneruskan tindakan injunksi di mahkamah dalam masa terdekat.

Tambahnya, tindakan injunksi itu akan dimohon kerana perkara ini melibatkan kepentingan pelbagai pihak memandangkan laluan tersebut itu akan dibina merentasi tanah rizab Melayu, kampung warisan dan tanah adat Orang Asli.

Beliau turut mendakwa terdapat tanah wakaf di kawasan terbabit telah diwartakan sebagai tanah kerajaan untuk projek tersebut, termasuk kawasan rizab masjid.

“Saya rasa perlu ada jawatankuasa khas untuk menilai semua ini sebelum sesuatu jajaran diambil,” katanya.

“Bukan lihat dari sudut ekonomi semata-mata sebab ia melibatkan tanah dan rizab Melayu yang luas.”

Katanya, sehingga kini sebanyak 151 rumah telah dirobohkan, termasuk 30 kediaman Orang Asli, malah ratusan rumah lagi dijangka dirobohkan selepas ini.

Mohd Zai berkata demikian pada sidang media, yang dianjurkan bersama Sekretariat Selamatkan Tanah Warisan Gombak, selepas pertemuan dengan lebih 50 penduduk terkesan di Kampung Sg Chinchin, Gombak.

Terdahulu media melaporkan beberapa struktur rumah termasuk bengkel serta tabika Kemas atas tapak terbabit telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek tersebut.

Perkara ini mencetuskan kebimbangan penduduk-penduduk di Desa Mukmin Warisan; Desa Mukmin Permai; Batu 7 Gombak; Sungai Chinchin; Taman Rawiyah Sulaiman Jaya; Batu 8 Gombak Utara; Taman Permai Jaya; Sungai Salak; Desa Makmur; Batu 11 Gombak; Batu 12 Gombak; Kampung Sungai Rumput serta Kem Alang Sedayu, mendorong mereka membantah pelaksanaan projek ECRL.


Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo