Dr-Ammar-Abd-Ghappar-681x383
Dr Ammar Abd Ghappar
KUALA LUMPUR – “Kalau prestasi saya menurun, (sepatutnya) ada proses untuk turunkan pangkat atau tamatkan perkhidmatan saya”. 

Itu reaksi Datuk Dr Ammar Abd Ghapar menjawab kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,  Datuk Seri Tiong King Sing yang menafikan beliau telah memecat bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia itu.

Jelas Ammar, sepatutnya ada proses yang boleh digunakan untuk King Sing untuk mengambil tindakan terhadapnya sekiranya dakwaan tersebut benar.

“Ada proses bukan suka-suka sahaja ambil tindakan. Ini (Tourism Malaysia) agensi kerajaan bukan syarikat sendirian berhad, syarikat pun sepatutnya ada peraturan,” jawab Ammar kepada MalaysiaGazette menerusi aplikasi WhatsApp.

Awal hari ini, King Sing membuat kenyataan beliau hanya bertindak menurunkan pangkat Ammar daripada ketua pengarah kepada timbalan kerana prestasi kerja yang tidak memuaskan.

Jelas King Sing, penurunan pangkat itu juga hanya dilakukan selepas tempoh lebih setahun selepas pelbagai nasihat berhubung prestasi kerja diberikan termasuklah oleh timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

“Ini bukan isu rasis atau soal pecat memecat. Saya bersama timbalan sudah banyak kali bagi peluang dan juga nasihat kepada Dr Ammar.

“Kita beri nasihat apakah yang perlu dilakukan secara terbaik bagi bantu menaikkan industri pelancongan negara kita. Tapi saya tidak tahu dia (Dr Ammar) tidak ada idea atau hendak buat bagaimana.

“Jika tidak boleh perform, saya tidak ada pilihan tetapi buat pertukaran. Bukan pecat tapi turun pangkat sahaja. Memang dari dulu, bila bekas KP sudah pençen nama Dr Ammar bukan di rankpertama pun,” kata King Sing siang tadi.

Baru-baru ini ada pihak mempersoalkan tindakan King Sing berhubung mengenai penamatan perkhidmatan Dr Ammar sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) dan ia tular di media sosial.

Difahamkan tindakan itu diambil mengikut Subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) dibaca bersama Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

Media sebelum ini melaporkan Ammar membuat kenyataan berita penamatan tersebut begitu mengejutkan dirinya kerana telah berkhidmat selama 36 tahun dalam industri berkenaan.

Penamatan itu berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung perkara berkenaan. 

Sumber asal | MalaysiaGazette