Ampang: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Prof Dr Md Nasir Ibrahim, 64, menjelaskan pemecatannya dalam tempoh 24 jam tidak membabitkan masalah integriti dan salah laku dirinya.

Md Nasir dalam sidang media hari ini berkata, beliau yang terkejut selepas menerima surat penamatan kontrak tugasnya semalam, bagaimanapun akur dan reda hanya dapat berkhidmat selama setahun tujuh bulan dengan agensi berkenaan.

NASIR Ibrahim pada sidang media penamatan perkhidmatan 24 jam selaku Ketua Pegawai Eksekutif FINAS di Grand Barakah Hotel. FOTO Hazreen Mohamad
NASIR Ibrahim pada sidang media penamatan perkhidmatan 24 jam selaku Ketua Pegawai Eksekutif FINAS di Grand Barakah Hotel. FOTO Hazreen Mohamad

"Cuma, saya agak terperanjat ketika menerima surat penamatan perkhidmatan yang berkuatkuasa serta-merta hari ini daripada Pengerusi Finas, Datuk Kamil Ahmad Mohd Othman pada jam 4.30 petang semalam tanpa alasan.

"Apabila ditanya kepada beliau (Kamil), saya diberitahu ia berdasarkan arahan daripada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. Jadi, saya akur dan menerimanya dengan reda," katanya pada sidang media khas diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Md Nasir berkata, dia turut merasakan dirinya dizalimi kerana tidak diberi peluang untuk berbincang atau membela diri sekiranya keputusan itu membabitkan integriti dan salah laku dirinya, termasuk ada kes jenayah.

"Saya rasa diri dizalimi apabila berlaku keadaan begini. Kalau ada masalah integriti atau jenayah yang dilakukan, saya berhak dipanggil untuk membela diri. Namun, ia tidak berlaku," katanya.

Ditanya mengenai pemecatan dirinya ada berhubung kait dengan unsur 'kroni' dalam pentadbiran Finas, Md Nasir tidak menafikannya kerana menganggap ia pasti akan berlaku dalam mana-mana organisasi pekerjaan.

Terdahulu, Md Nasir yang juga bapa pelakon Anzalna dan Afifah Md Nasir memaklumkan beliau menerima surat pemendekan kontraknya sebagai CEO Finas semalam yang berkuat kuasa serta-merta mulai hari ini.

Md Nasir dilantik sebagai CEO Finas pada 31 Oktober 2021 bagi tempoh dua tahun yang berkuat kuasa mulai 1 November tahun itu sehingga 30 Oktober ini.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang menyandang jawatan berkenaan selepas kontraknya berakhir pada 15 Oktober 2021.

Sementara itu, Finas dalam kenyataan dikeluarkan berkata, keputusan menamatkan kontrak Md Nasir dibuat sebagai langkah penstrukturan semula badan itu agar dapat membawa perubahan kepada industri perfileman tanah air.

Kenyataan itu juga memaklumkan, dalam tempoh interim (sementara), Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas iaitu Rozita Waty Ridzuan menjalankan tugas CEO berkuat kuasa hari ini, hingga jawatan berkenaan.

Sumber | Harian Metro