NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mesej WhatsApp antara dua saksi utama diserah kepada peguam Guan Eng

Lim Guan Eng berdepan beberapa pertuduhan dikaitkan dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah terowong dasar laut Lim Guan Eng menyerahkan mesej perbualan WhatsApp antara dua saksi utama pendakwaan kepada pasukan pembelaan, Mahkamah Sesyen diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, memaklumkan hakim perbicaraan Azura Alwi, dokumen itu diserahkan pada hari mahkamah membuat perintah itu.

Peguam Lim, Haijan Omar, mengesahkan penerimaan dokumen itu.

Pada 18 April, hakim memerintahkan pendakwa untuk mengemukakan mesej perbualan WhatsApp antara ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli dan G Gnanaraja bagi tujuan perbicaraan Lim.

Azura kemudian berkata perbicaraan akan diteruskan dari 18 hingga 21 Julai seperti dijadualkan.

Lim sedang dibicarakan kerana menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta Zarul 10% keuntungan daripada projek jalan raya dan terowong berkenaan.

Bekas menteri kewangan itu juga didakwa meminta sogokan RM3.3 juta untuk melantik syarikat Zarul bagi menjalankan projek berkenaan.

Beliau juga menghadapi dua pertuduhan menyeleweng RM208.7 juta nilai tanah negeri yang diberikan kepada dua syarikat secara tidak jujur.

Lim meminta pihak pendakwaan mengemukakan laporan forensik perbualan WhatsApp antara Zarul dan Gnanaraja, atas alasan kandungan perbualan itu penting untuk pembelaannya.

Peguamnya sebelum ini berhujah bahawa mesej antara dua ahli perniagaan itu akan menunjukkan beliau tidak menerima sejumlah RM2 juta seperti yang didakwa.

Laporan itu dikemukakan sebagai bukti dalam kes jenayah berasingan di Mahkamah Sesyen Shah Alam di mana Gnanaraja didakwa menipu Zarul sebanyak RM19 juta.

Gnanaraja dijangka dipanggil sebagai saksi dalam kes rasuah Lim nanti.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo