Gambar fail, Temubual bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Gambar fail, Temubual bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

PUTRAJAYA: Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkuat kuasa Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelantikan semula Azam adalah untuk tempoh selama setahun dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Pelantikan itu adalah untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa 12 Mei 2023," katanya.

Azam, yang dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan, memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali sebagai SPRM) pada 1984.

Jawatan pertama Azam di badan itu adalah penolong pegawai siasatan, selain pernah berkhidmat sebagai pegawai perisikan, pegawai pendakwaan, selain menjalankan tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.

Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020, menggantikan Latheefa Beebi Koya, yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Azam mempunyai kelulusan diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ijazah Undang-undang (Jurispruden) daripada Universiti Malaya dan ijazah sarjana daripada Asia E-University.