NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malaysia akan jadi kuasa besar Asia Tenggara dalam futsal



Perjalanan wakil Malaysia, Pahang Rangers dalam saingan Kejohanan Futsal Kelab AFF berakhir di tangga keempat selepas tewas kepada pasukan Vietnam, Thai Son Nam semalam.

Ia satu keputusan yang agak mengecewakan buat peminat sukan futsal di negara ini, namun Pahang Rangers telah melakukan sebaik mungkin di kejohanan itu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tahap futsal Malaysia dilihat agak ketinggalan berbanding negara-negara besar Asia Tenggara seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Keputusan pasukan kebangsaan atau wakil negara di kejohanan serantau dilihat agak mengecewakan apabila bertemu pasukan-pasukan dari Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Satu ketika dahulu, Malaysia juga pernah berada di tahap yang sama dengan pasukan-pasukan daripada negara-negara berkenaan, namun entah di mana silapnya kesemua negara itu kini sudah meninggalkan Malaysia di belakang.

Dalam kejohanan Piala AFF dan Sukan SEA terdahulu, Malaysia mencatatkan beberapa keputusan yang memalukan apabila bertemu negara-negara berkenaan seperti tewas 5-1 kepada Indonesia pada Kejohanan Futsal AFF 2022, tewas 6-2 kepada Thailand dan 7-0 kepada Vietnam dalam Sukan SEA 2021.

Myanmar juga mengakhiri kedua-dua kejohanan itu dengan keputusan yang lebih baik berbanding Malaysia.

Mungkinkah saingan futsal di negara ini yang tidak begitu kompetitif menyebabkan Malaysia semakin ketinggalan?

Ramai pemain futsal di negara ini adalah berstatus amatur, jadi untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat adalah sukar kerana pemain mempunyai komitmen lain di luar.

Berbeza dengan bola sepak di mana pemain boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier mereka tanpa perlu melakukan kerja lain.

Namun, arena futsal di negara ini dilihat mempunyai potensi untuk bangkit dengan kehadiran pendatang baharu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang melakukan debut mereka dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) musim ini.

Seperti mana yang berlaku dalam bola sepak, JDT telah berjaya meletakkan nama Malaysia di peta Asia sebagai salah sebuah kuasa besar di rantau ini.

Selepas ditubuhkan pada 2013, JDT berjaya menjulang kejuaraan Piala AFC dua tahun kemudian dan kini boleh dikatakan sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara.

Sehingga kini, JDT merupakan satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya menjulang trofi berkenaan.

Selepas kejayaan itu, JDT membuka mata pasukan-pasukan lain di negara ini untuk turut menyasasarkan kejohanan peringkat Asia.

Musim lalu, KL City FC hampir berjaya mengikut jejak langkah JDT menjulang trofi Piala AFC namun tewas di perlawanan akhir kepada pasukan Oman, Al-Seeb.

Kini, semua pasukan besar di Liga Super akan meletakkan layak ke kejohanan AFC sebagai salah satu sasaran mereka setiap musim.

Sedangkan sebelum kehadiran JDT, pasukan-pasukan dari Malaysia agak sukar untuk mara jauh dalam kejohanan kelab AFC.

Jika sifir yang sama diaplikasikan dalam arena futsal negara, mungkin dalam tempoh beberapa tahun lagi Malaysia mampu kembali bangkit sebaris dengan kuasa-kuasa besar Asia Tenggara.

Musim ini merupakan musim sulung JDT dalam saingan MPFL, dan mereka sudah boleh dianggap sebagai pasukan pilihan.

JDT telah berjaya mengangkat tahap saingan Liga Malaysia dan tidak mustahil perkara sama akan dilakukan dalam sukan futsal.

Apabila JDT meletakkan satu penanda aras baharu dalam Liga Malaysia, semua pasukan selepas itu mula sedar dan meningkatkan taraf pasukan masing-masing untuk cuba mengejar JDT walaupun agak lambat.

Inilah perkara yang sama yang diharapkan berlaku dalam arena futsal negara.

Harus diakui apabila JDT mula ‘masuk campur’, matlamat utama mereka adalah untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan terbaik, tidak kiralah dalam apa-apa sukan sekali pun.

Dalam masa beberapa tahun lagi, JDT dijangka akan mula mendominasi arena futsal negara pula, dan selepas itu meluaskan kuasa mereka ke rantau Asia Tenggara dan Asia.

Ketika itu, arena futsal negara juga diharap bakal kembali bangkit dan menjadi kuasa besar di Asia Tenggara dan seterusnya Asia.


Sumber I Harimau Malaya




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo