NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hamzah bertegas rayu kes kalimah Allah ‘tepat’, di sebalik dapatan arahan bercanggah

Bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin berkata semua pihak perlu membenarkan proses undang-undang mengambil tempat dengan sewajarnya tanpa sebarang campur tangan.


PETALING JAYA: Bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin mempertahankan keputusan pentadbiran Muhyiddin Yasin memfailkan rayuan di mahkamah berhubung isu kalimah “Allah” pada 2021 sebagai tepat, meskipun rayuan itu kini ditarik balik oleh kerajaan sedia ada.

Beliau berkata keputusan itu bertujuan memastikan proses perundangan diteruskan sehingga ke Mahkamah Persekutuan, setelah Mahkamah Tinggi ketika itu membenarkan bahan penerbitan agama Kristian di Sarawak menggunakan kalimah Allah secara bersyarat bagi tujuan pembelajaran agama, selepas mendapati terdapat percanggahan antara arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan keputusan Jemaah Menteri.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution semalam menjelaskan rayuan tidak diteruskan kerana keputusan kes itu berdasarkan percanggahan di antara arahan pentadbiran KDN 1986 dan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama.

“Dalam Perlembagaan, apa juga keputusan perbicaraan boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan dan semua pihak perlu membenarkan proses undang-undang ini mengambil tempat dengan sewajarnya tanpa sebarang campur tangan,” kata Hamzah dalam kenyataan.

“Biarlah mahkamah di peringkat tertinggi yang memutuskan dan setelah semua proses undang-undang itu telah disempurnakan, kita wajib menghormati keputusan mahkamah.”

Hamzah, juga kini ketua pembangkang, menyoal kenapa “kerajaan campuran PH-BN” tidak mahu membenarkan proses perundangan dan kehakiman mengambil tempat.

“Mengapa proses perundangan dan kehakiman itu dihalang dan mengapa menteri dalam negeri bertindak tanpa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu, sedangkan isu kalimah ‘Allah’ ini amat-amat sensitif,” katanya.

Pentadbiran Anwar Ibrahim ketika ini ditunjangi oleh PH dan BN, serta Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.

Dalam pada itu, Hamzah menarik perhatian kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) tentang kalimah “Allah”.

“MKI pada 2018 menegaskan bahawa ‘Allah’ merupakan kalimah suci yang khusus dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama lain,” katanya.

Kerajaan baru-baru tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pembelajaran agamanya, selepas “memperhalusi dengan teliti” keputusan hakim.

Saifuddin mengingatkan semua pihak bahawa keputusan mahkamah pada 2021 itu berkaitan bahan penerbitan, bukan dari sudut ketuhanan; manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, mengesahkan isu ini melibatkan teknikal perundangan.

Menteri Besar Amirudin Shari hari ini mengumumkan bahawa larangan berkait penggunaan kalimah “Allah” di Selangor berkuatkuasa seperti biasa, dan pendirian KDN tidak menjejaskan enakmen berkaitan.


Sumber I FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo