NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gara-gara gagal isytihar kepentingan isteri, PM British disiasat

LONDON: Badan pemantau piawaian Parlimen British menyiasat Perdana Menteri, Rishi Sunak, berhubung pengisytiharan pegangan saham isterinya dalam sebuah syarikat penjagaan anak yang mendapat manfaat daripada dasar baharu kerajaan.


Berdasarkan senarai pertanyaan terbuka di laman web Parlimen Isnin lalu, Pesuruhjaya Piawaian Parlimen memulakan siasatan berhubung “pengisytiharan kepentingan” pada 13 April lalu.

Parti pembangkang menimbulkan persoalan mengenai laporan media bahawa isteri Sunak, Akshata Murthy adalah pemegang saham dalam syarikat yang akan mendapat manfaat melalui sokongan untuk sektor penjagaan kanak-kanak yang diumumkan dalam Belanjawan Mac.

“Kami gembira dapat membantu pesuruhjaya untuk menjelaskan bagaimana perkara ini telah diisytiharkan secara telus sebagai kepentingan menteri,” kata jurucakap Sunak, sekali gus mengesahkan siasatan itu dikaitkan dengan firma penjagaan kanak-kanak itu.

Siasatan itu memalukan Sunak yang ketika mula memegang jawatan pada Oktober lalu, berjanji untuk memimpin kerajaan yang berintegriti di setiap peringkat ketika dia berusaha memulihkan nasib partinya menjelang pilihan raya kebangsaan yang dijangka tahun depan.

Sunak dan Murthy adalah pasangan terkaya pernah menghuni 10 Downing Street. Murthy ialah anak perempuan kepada antara pengasas gergasi Teknologi Maklumat (IT) India, Infosys dan memiliki kira-kira 0.9 peratus daripada syarikat itu, iaitu hampir AS$600 juta berdasarkan harga saham Isnin lalu.

Pasangan itu berdepan kritikan dan kemarahan orang ramai ketika Sunak menjadi Menteri Kewangan berhubung status cukai “tidak bermastautin” Murthy yang bermakna dia tidak membayar cukai di Britain bagi pendapatannya di luar negara. Dia kemudian melepaskan status itu dan berkata akan membayar cukai British ke atas pendapatan globalnya.

Pesuruhjaya yang tidak memberikan butiran siasatan, bertanggungjawab terhadap Tatakelakuan Dewan Rakyat dan menyiasat sebarang pelanggaran yang dilakukan.

Mengikut tatakelakuan itu, Ahli Parlimen perlu memberikan maklumat berhubung kepentingan kewangan yang mungkin secara munasabah dianggap mempengaruhi kerja mereka di Parlimen.

Jika siasatan mendapati terdapat pelanggaran, pesuruhjaya boleh meminta Sunak memohon maaf dan menetapkan langkah-langkah untuk mengelakkan sebarang kesilapan pada masa hadapan atau merujuknya kepada jawatankuasa yang mempunyai kuasa untuk menggantung atau memecatnya dari Parlimen.

Timbalan Ketua Pembangkang dari Parti Buruh, Angela Rayner berkata, Sunak harus mengumumkan kepentingannya sebelum pilihan raya perbandaran bulan depan. Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian meninggalkan “lompang hitam ketelusan yang membolehkan Perdana Menteri dan mereka yang dilantiknya mengelak hal ehwal mereka diteliti”. – REUTERS

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo