NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mencari keberkatan Ramadan untuk amalan berpanjangan

KUALA LUMPUR: Keagungan dan keberkatan bulan Ramadan menjadikan kehadirannya sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

Bulan Ramadan dikaitkan dengan bulan mulia yang penuh keberkatan di mana, Allah SWT telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan ini, berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Perkataan berkat membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah. Menurut ulama tafsir terkenal Al-Asfihani, sesuatu itu disebut berkat apabila di dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan yang banyak.

Demikian antara perkongsian tazkirah yang disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya yang bertajuk Mencari keberkatan Ramadan untuk amal berpanjangan.

Beliau muncul dalam program Tazkirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini, hari ini yang boleh diikuti melalui Facebook Harakahdaily.

Ustaz Azhar memberitahu, sebagai bulan meningkatkan ibadah dan bulan memperolehi ganjaran berlipat kali ganda, banyak amal kebaikan yang boleh dilakukan agar sentiasa beristiqamah untuk mengubah diri daripada tidak baik kepada baik, daripada baik kepada lebih baik.

“Ibadah puasa yang dilakukan oleh umat Islam di bulan Ramadan bukan hanya melatih diri mereka untuk menahan lapar dan dahaga, namun ia juga mendidik diri untuk meningkatkan dan memperkasakan segala amal kebajikan kita dari semasa ke semasa.

“Ini kerana bulan yang memiliki limpahan pahala dan kasih sayang Allah SWT ini pastinya amat dirindui oleh orang-orang mukmin kerana hadirnya membawa seribu satu rahsia kelebihan dan kebaikan,” kongsinya.

Banyak manfaat yang akan diperolehi oleh umat Islam sepanjang Ramadan. Bulan Ramadan juga merupakan bulan di mana Allah SWT telah turunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW, sebagai pedoman dan menjadi petunjuk bagi seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

“Membaca al-Quran bukan hanya membantu kita untuk memperbaiki penghayatan dan pengamalan Islam kita, tetapi menjadi amalan yang sangat baik untuk meningkatkan kesabaran dan keimanan kita.


“Sebaik-baiknya, kita membaca al-Quran sambil menghayati maksud-maksud yang terkandung di dalamnya. Kita juga boleh bertadarus al-Quran secara dalam kumpulan,” katanya.

Seterusnya, kita juga praktikkan sepanjang Ramadan adalah amalan bersedekah. Amalan ini sudah sedia maklum dan sangat popular dalam kalangan masyarakat kita.

Kita lihat, sudah menjadi sifat orang Malaysia yang suka memberi. Bersedekah merupakan satu amalan yang sangat mulia dan digalakkan sepanjang bulan Ramadan.

Bulan Ramadan itu sendiri bertujuan untuk memahami situasi orang yang tidak berkemampuan. Jadi, bersedekah ini diamalkan untuk mempertingkatkan lagi niat dan kualiti ibadah kita.

Kesimpulannya, bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemurahan daripada Tuhan buat yang beragama Islam.

Oleh itu, kita harus memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk meningkatkan kesedaran dan kecintaan kita pada agama dan Tuhan. 

– HARAKAHDAILY

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo