Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto fail NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto fail NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Satu Pandangan

UMNO telah menggerakkan satu momentum kuat untuk memohon Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak, bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri.

Adakah momentum tersebut akan mewujudkan keretakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan? Pada pandangan saya jawapannya tidak.

Mengapa tidak? Kerana pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan.

KUALA LUMPUR 14 MAC 2019. Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membentangkan usul tergempar mengenai perlaksanaan darurat di kawasan pencemaran bahan kimia beracun Sungai Kim Kim di daerah Pasir Gudang, Johor di lobi Dewan Rakyat, Parlimen. NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
KUALA LUMPUR 14 MAC 2019. Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membentangkan usul tergempar mengenai perlaksanaan darurat di kawasan pencemaran bahan kimia beracun Sungai Kim Kim di daerah Pasir Gudang, Johor di lobi Dewan Rakyat, Parlimen. NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

Adakah Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri berada dalam keadaan tertekan dan dilema untuk menasihati Agong sama ada untuk memberi pengampunan ataupun tidak kepada Najib Razak?

Soalan ini tidak relevan dan tidak berbangkit. Perkara 42(4) (a) dibaca dengan Fasal (3) Perkara 40 menyatakan Agong bertindak dalam hal pengampunan itu selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan. Ini bermakna Nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri tidak diperlukan.

Anwar Ibrahim berada dalam keadaan selamat dan kerajaan pimpinannya selamat dalam badai yang datang bersama momentum usaha pengampunan Agong yang digerakkan oleh UMNO jika Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya mengambil sikap mematuhi doktrin pengasingan kuasa iaitu tidak campur tangan dalam bidang kuasa Agong untuk menangani isu pengampunan tersebut mengikut peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang cukup jelas dari Fasal (1) hingga Fasal (13).

Adakah Najib Razak berhak memohon pengampunan Agong?

Permohonan pengampunan Najib Razak itu telah pun difailkan pada Ogos 2022 sebaik selepas keputusan Perbicaraan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan. Perkara 42(2) menyatakan bahawa Agong boleh menjalankan kuasa pengampunan jika hukuman telah dijatuhkan oleh Mahkamah.

Ini bermakna Agong boleh memberi pengampunan kepada Najib dalam kes rasuah SRC International yang membabitkan RM42 juta kerana mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Tetapi Najib ada tiga kes lain yang berasingan yang belum selesai iaitu pertama, kes rasuah 1MDB membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion; kedua, kes pengubahan wang haram SRC International berasingan membabitkan RM27 juta; dan ketiga, kes pecah amanah International Petroleum Investment Companya (IPIC) bernilai RM 6.6 bilion.

Dalam tiga kes yang di atas, yang belum selesai perbicaraan di mahkamah maka Agong tidak ada kuasa untuk memberi pengampunan.

PM selamat daripada tekanan UMNO

Ada hikmahnya dalam kuasa pengampunan ini bahawa Perdana Menteri tidak ada kuasa menasihati Agong untuk mengambil sesuatu tindakan di bawah Perkara 40(1) iaitu yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. Perkara ini tidak terpakai dalam hal pengampunan diraja. Peruntukan ini menyelamatkan Perdana Menteri daripada desakan dan asakan UMNO supaya Najib diampunkan.

Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet pimpinannya tidak berperanan dalam hal pengampunan diraja ini, jadi bagaimana usaha dan prosedur pengampunan diraja ini boleh dijalankan?

Perkara 42(4)(b) menyatakan dengan jelas bahawa Agong menjalankan kuasa pengampunan itu mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan mengikut Fasal (5) Perkara 42.

Komposisi Lembaga Pengampunan

Di bawah Perkara 42(5) Lembaga Pengampunan terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab (Perkara 42(11)) dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang dilantik oleh Agong.

Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab di bawah Perkara 42(11) itu bukan Perdana Menteri tetapi Menteri Dalam Negeri. Ini membebaskan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri daripada beban memutuskan soal pengampunan diraja itu.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah besar dalam soal pengampunan ini. Misalnya Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Agong dan Agong hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu (Perkara 42(8)).

Isu yang berbangkit adakah Lembaga Pengampunan telah bermesyuarat sedangkan Najib Razak telah memfailkan permohonan pengampunan sejak Ogos tahun 2022 dan kes semakan keputusan Mahkamah Persekutuan telah ditolak pada 31 Mac 2023 dengan keputusan 4-1?

Ini bermakna 'bola di gelanggang" Lembaga Pengampunan. Maka logiklah jika UMNO telah menggerakkan momentum memohon Agong memberi pengampunan kepada Najib Razak dengan 'by-pass' Perdana Menteri kerana Perdana Menteri tiada kuasa dalam hal pengampunan diraja ini.

Jadi Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri tidak boleh dipersalahkan jika proses pengampunan ini lambat atau cepat. Anwar Ibrahim juga tidak boleh dipersalahkan jika pengampunan dibenarkan ataupun ditolak. Jika doktrin pengasingan kuasa dihormati dan dipatuhi maka kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan pimpinannya akan selamat dari diganggu-gugat.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang;

Peguambela dan Peguamcara