NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa susah sangat perbetulkan dan mohon maaf?




ISU jawapan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), YB Nik Nazmi Nik Ahmad di Dewan Rakyat berkenaan Tanah Rezab Melayu bukan isu remeh. Ia suatu isu yang besar.

Kalau diteliti semula jawapan beliau di Dewan Rakyat pada 29 Mac lalu, jelas beliau menggambarkan, kononnya Kedah adalah negeri yang paling banyak kehilangan tanah rezab Melayu.

Sedangkan, data yang beliau berikan adalah separuh masak. Sengaja diletakkan data setahun (2021 – 2022) bagi menyokong naratifnya. Walhal, mengikut Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah, tanah rezab Melayu di sana telah  meningkat sebanyak 408 hektar, dibandingkan dengan keluasan asal. Ini data terkini, seperti yang dijelaskan oleh YAB Menteri Besar Kedah 

Timbul persoalan, kenapa Menteri masih bergantung pada data tahun 2021 – 2022 untuk menjawab soalan di Dewan Rakyat, sedangkan kita hari ini, telah melepasi suku pertama tahun 2023? Takkan Menteri tak usaha untuk dapatkan maklumat terkini daripada PTG Negeri Kedah, sampai terpaksa bergantung harap dengan laporan yang dah lapuk? Kemudian ditekankan seolah Negeri Kedah yang dipimpin oleh PN atau PAS telah menggadaikan Tanah Rezab Melayu? Apa permainan politik Menteri sebenarnya?

Jelas, jawapan beliau tempoh hari adalah suatu mesej yang salah, suatu kekeliruan dan perlu diperbetulkan. Bahkan, dasar tanah rezab Negeri Kedah sendiri sangat memelihara keutuhannya. Di Kedah, sekiranya tanah rezab Melayu ingin dibeli oleh bukan-Melayu, maka pihak pembeli tersebut harus mencari tanah lain, yang bukan tanah rezab Melayu, sebagai ganti kepada tanah rezab yang diambil.

Bukan itu sahaja, Kedah juga telah menetapkan syarat, bagi gentian tanah yang dibuat mestilah melebihi 5 peratus keluasan tanah rezab yang diambil. Sekiranya tanah rezab yang diambil itu, nilai tanahnya lebih tinggi daripada nilai tanah yang diganti, maka pembeli tanah tersebut wajib untuk membayar sejumlah wang, sebagai ‘nilai tambah’ kepada perbezaan nilai tanah rezab Melayu dan tanah ganti. Begitu ketat syarat Negeri Kedah untuk memelihara tanah rezab Melayu. 

Maka persoalannya, kenapa perlu dijawab dengan ayat ‘Kalau berkurangan di Negeri Kedah. Negeri Kedah boleh bertanya kepada Kerajaan Negeri Kedah. Di Kuala Lumpur ada berkurangan sedikit dan di Perak berkurangan sedikit.’? Jelas, Menteri memberikan gambaran seakan-akan Negeri Kedah telah menggadaikan tanah-tanah rezab Melayu! Sedangkan, Kerajaan Negeri Kedah sangat menjaga keutuhannya. Bahkan, Kedah juga merupakan antara negeri-negeri yang mempunyai Tanah Rezab Melayu yang terbesar, selain Negeri Kelantan dan Terengganu (yang ketiga-tiganya dipimpin oleh Menteri Besar dari PAS atau PN).

Saranan saya, YB Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim tak perlulah cuba menegakkan benang yang basah. Perbetulkan sahaja kenyataan anda, dan mohon maaf dalam Sidang Dewan Rakyat esok. Anda bukan sahaja mengelirukan Dewan, bahkan anda telah mengelirukan rakyat serta mempertahankan kekeliruan tersebut dengan menggunakan fakta-fakta separuh masak bagi menyokong naratif anda. Bersikap matang, dan jadilah gentleman

Sekian pandangan.

NAZRUL NAZIR
Pengarah Jabatan Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 4/4/2023


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo