Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kiri) dan ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof.
Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kiri) dan ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof.

MASJID TANAH: Seorang wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) Melaka, mendakwa Datuk Seri Sulaiman Md Ali, meletak jawatan Ketua Menteri kerana terpaksa tunduk kepada kehendak pihak tertentu, walaupun hakikatnya tidak mahu melepaskan jawatan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof, yakin Sulaiman enggan berbuat demikian tetapi terpaksa akur kepada pihak terbabit.

"Kestabilan yang dilaungkan hanya cerita mitos. Saya percaya Sulaiman sebenarnya tidak mahu melepaskan jawatan tetapi beliau terpaksa tunduk dan akur.

"Inilah yang berlaku di negeri yang dikuasai UMNO dan BN. Berbanding di negeri lain yang tidak dikuasai UMNO dan BN, tiada gangguan dan perebutan kuasa seperti di Melaka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan pada November 2021 adalah akibat perbalahan dalam kalangan pemimpin UMNO untuk menjadi Ketua Menteri.

"Selepas UMNO menang besar, kestabilan politik tidak berlaku kerana dalam kalangan mereka ada sikap tamak untuk merebut kuasa.

"Saya dengar dalam kalangan mereka, ramai tidak setuju dengan perubahan ini tetapi masing-masing tidak dapat melakukan apa-apa," katanya.

Beliau mendakwa, krisis politik yang berpanjangan di negeri ini hanya menyebabkan rakyat semakin bosan dan kecewa.

Dr Aleef mendakwa, perubahan kepemimpinan negeri tidak menjamin kestabilan politik, apatah lagi dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka yang dicadangkan Kerajaan Pusat.

Sulaiman dilaporkan meletak jawatan melalui surat yang diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin.

Peletakan jawatan Sulaiman itu juga menyusul selepas Ahmad Zahid dilaporkan berkata Melaka dalam proses pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Pusat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, disebut-sebut sebagai bakal Ketua Menteri baharu.