KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, kecewa kerana 14 usul yang dihantarnya kepada Dewan Rakyat pada mesyuarat kali ini tidak mendapat pertimbangan untuk dibincangkan.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu menyatakan perkara berkenaan ketika membangkitkan Peraturan Mesyuarat 18 (1) berkaitan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor dilarang menghadiri semua program anjuran Kerajaan Persekutuan.

"Saya hantar 14 usul, satu pun tidak dapat dipertimbangkan. Kemudian usul tergempar di bawah 18 (1), semua ditolak.

"Saya seorang Ahli Parlimen yang lama, cukup sedih dengan apa yang berlaku kerana saya terpaksa cakap supaya rakyat lihat bahawa saya tidak main-main perkara ini.

"Saya serius bahawa Kerajaan Pusat diminta jangan berbuat begitu (larangan kepada Muhamad Sanusi). Tidak baik... di bulan puasa," katanya selepas selesai sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul kemudian meminta Shahidan menghantar usul berhubung perkara itu.

"Selain itu, ada bukti hitam putih yang kerajaan sudah keluarkan arahan Menteri Besar tidak akan dijemput ke mana-mana program? Tidak ada kan?

"Itu hanya ditulis pemberita dan akhbar. Jadi Arau, boleh kemuka usul, insya-Allah saya akan pertimbangkan," katanya.

Semalam, Muhammad Sanusi menerusi Facebooknya mendakwa, beliau dilarang menyertai sebarang majlis anjuran Kerajaan Persekutuan.

Muhammad Sanusi turut mendakwa dilarang hadir majlis Kerajaan Persekutuan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) pada 23 hingga 27 Mei depan.