Mohd Radzi - Foto Bernama
Mohd Radzi - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin kekal sebagai Ahli Parlimen Putrajaya selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, membenarkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen yang difailkan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim.

Hakim Datuk Faizah Jamaludin berkata, Ahmad Faisal selaku pempetisyen gagal membuktikan amalan rasuah dilakukan sama ada oleh Mohd Radzi selaku responden atau ejennya.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Faizah berkata, pempetisyen gagal membuktikan wujud kegiatan rasuah membabitkan Mohd Radzi mengikut Seksyen 32 (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kekurangan fakta dan butiran mengenai dakwaan rasuah kepada pengundi akan menjadikannya mustahil untuk membuktikan kes di luar keraguan munasabah, jika perbicaraan diadakan.

“Saya juga mendapati petisyen itu defektif atau cacat kerana gagal mematuhi Peraturan 4 (1) (b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya,” katanya ketika prosiding keputusan kes yang diadakan secara dalam talian.

Hakim itu berkata, kegagalan pempetisyen untuk mematuhi prosedur, menyebabkan kecacatan dalam bidang kuasa sehingga menyebabkan mahkamah tidak dapat mendengar petisyen itu.

Susulan itu beliau berkata, petisyen tersebut dibatalkan dan Ahmad Faisal dikehendaki membayar kos RM20,000 kepada Mohd Radzi.

Dalam prosiding berkenaan, peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Norhazira Abu Hayan dan Amin Othman mewakili Ahmad Faisal sementara Mohd Radzi diwakili peguam, Yusfarizal Yussoff.

Pada 28 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, Ahmad Faisal selaku seorang pengundi, memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan Mohd Radzi yang memenangi kerusi Parlimen Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Beliau mendakwa Mohd Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu memberi sogokan RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan itu.

Ahmad Faisal, 50, memfailkan petisyen pada 26 Januari lalu, menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan Mohd Radzi, 46, selaku responden tunggal.

Menurut petisyen yang difailkan, pemimpin UMNO itu turut mendakwa, butiran sogokan dinyatakan menerusi perbualan dalam aplikasi ‘WhatsApp’ bertarikh 21 November dan 21 Disember 2022 serta 4 Januari lalu.

Ahmad Faisal menyatakan bahawa, rasuah yang dilakukan oleh responden dan ejen-ejennya menyebabkan kemenangan kepada calon PN itu, mengalahkan calon BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pada 20 November 2022, Sinar Harian melaporkan, rekod penyandang Parlimen Putrajaya selama empat penggal berturut-turut oleh Tengku Adnan sejak tahun 2004, dileburkan oleh bekas Menteri Kanan Pendidikan, Mohd Radzi.

Mohd Radzi berjaya mengumpul 16,002 undi mengalahkan Tengku Adnan dengan majoriti 2,310 undi.

Penyandang itu memperoleh 13,692 undi manakala calon PH, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (5,988 undi) dan calon Pejuang, Datuk Mohd Rosli Ramli (878 undi).

Dua calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi mendapat 63 undi dan Lim Fice Bee pula 20 undi.

Mohd Rosli, Samsudin dan Fice Bee hilang deposit.