KWSP sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli KWSP sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
KWSP sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli KWSP sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli KWSP sebagai cagaran untuk membuat pinjaman peribadi bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai.

KWSP dalam kenyataan menyebut pihaknya ambil maklum mengenai pengumuman terkini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengenai kemudahan berkenaan.

"KWSP ambil maklum perkembangan ini dan akan mempertimbangkan semua faktor yang relevan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.

"Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kemudahan ini akan diumumkan oleh KWSP pada masa yang akan datang," kata kenyataan itu.

Anwar ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang 'terdesak' untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

"Prinsip saya ialah wang KWSP adalah untuk simpanan hari tua dan kita beri kelonggaran zaman COVID-19, malah negara yang memberi kelonggaran sama juga sudah membatalkan kaedah itu.

"Tetapi saya masih mendengar pandangan, oleh itu saya cadangkan untuk memperkenalkan satu kaedah bagi permudahkan untuk orang terdesak supaya KWSP memberikan ruang bagi pencarum yang mempunyai wang untuk membuat pinjaman bank dengan cagaran daripada agensi itu," katanya.

Anwar berkata, mereka yang dicadangkan boleh melakukan pengeluaran itu hanya tertumpu kepada yang mempunyai wang dalam KWSP.

"Saya cadangkan yang mempunyai peluang, ada seorang yang merayu kepada KWSP dia mempunyai RM1 juta (dalam KWSP) tetapi terikat kat situ.

"Dia terpaksa bayar untuk hutang perniagaannya sekitar RM180,000 hingga RM200,000, itu spesifik kes. Oleh itu saya kata, tak pelah kita buat koleteral, dia tidak 'withdraw' (keluarkan) daripada KWSP tetapi dalam masa sama KWSP buat koleteral itu sebagai cagaran," katanya.