NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pejuang hantar surat permohonan sertai Perikatan Nasional




BANGI, 9 Syaaban 1444H, Khamis – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan telah menghantar surat permohonan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Katanya, keputusan untuk menyertai PN tidak dibuat berseorangan tetapi mendapat persetujuan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang dalam mesyuarat dua hari lalu.

“Keputusan ini telah disepakati MEP selepas meneliti dan menilai semua opsyen gabungan atau kerjasama politik yang ada.

“Perjuangan PN adalah sesuai dengan mandat yang kami perolehi daripada Perhimpunan Agung Pejuang kali ke-2 baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, surat permohonan tersebut telah dihantar kepada Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan salinan kepada Timbalan Pengerusi yang juga Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.

Katanya, MEP dalam keputusan tiga perenggan telah membuat pertimbangan antaranya, adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi yang ditandingi lebih-lebih lagi jika lambang berasingan digunakan oleh kedua pihak yang berpakat.

“Kedua, lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN dan bertanding menggunakan lambang PN, yang bermakna kesepakatan parti itu dengan PN tidak terhad hanya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung Jun ini, tetapi juga untuk jangka masa panjang.

“Selain itu, penyertaan Pejuang sebagai anggota komponen PN adalah untuk memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya yang mendatang,” katanya.

Justeru, beliau berharap kepimpinan PN akan mempertimbangkan dan memberi maklum balas positif kepada permohonan berkenaan.

Katanya, Pejuang memilih PN sebagai gabungan untuk berdepan PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Pada PRU-15 lalu, Pejuang yang merupakan salah satu gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) kalah di semua 125 kerusi yang dipertandingkan.

Pada 10 Februari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad pula mengumumkan keluar dari parti itu bersama 12 ahli lain, sekali gus meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Pejuang.

............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo