NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menyanggah 'sumber' SPRM

Semalam, saya ada membaca satu laporan dalam Malaysiakini yang mendakwa, kes pemberian wang kepada pengundi yang tular dan dikatakan berlaku di Marang, mempunyai asas kukuh bagi pendakwaan kes rasuah. Laporan itu berdasarkan kepada ‘sumber’ SPRM. 

Pemberita MK, Hariz Mohd, cuba mengheret perkataan 'sumber' itu sebagai penguat berita yang dilaporkannya. Kes ini adalah sama dengan kes petisyen bantahan PRU15 Parlimen Marang yang sedang dibicarakan dan di pihak SPRM, sudahpun melakukan siasatan.

Saya hadir ke mahkamah bagi mengikuti perbicaraan kes petisyen itu, oleh Jasmira Othman, calon BN terhadap Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. 

Sehingga kini, saksi khusus daripada pihak pempetisyen, hanya seorang saksi, iaitu YB Bazlan Abdul Rahman, Adun Batu Rakit. Namun beliau bukan saksi yang berada di tempat kejadian. Manakala saksi-saksi lain ialah saksi sepina, iaitu saksi yang dipanggil menggunakan kuasa mahkamah, bukan saksi tulen bagi pempetisyen.

Saya tidak mahu mengulas berkenaan apa-apa secara teknikal, melibatkan perbicaraan mahkamah kerana saya bukan peguam dan ia tidak dibenarkan, terutama jika ia melibatkan hal yang mendahului keputusan mahkamah. 

Tetapi saya, sebagai penulis, boleh menyebut dan saya sebenarnya telahpun menulis catatan perjalanan perbicaraan secara terperinci, bagaimana prosiding berlangsung. Saya juga berkesempatan menemubual peguam responden bagi mendapatkan penjelasan.

Peguam pening

Saya melihat sendiri kesukaran peguam pempestisyen, Datuk Hafarizam Harun menyoal saksi sepina mereka yang hampir semuanya menjawab dengan jawapan yang tidak memenuhi kehendak pihak pempetisyen kerana banyak kejadian tidak sama. Ada saksi yang hanya 20 minit ditanya oleh beliau, kemudiannya beliau berputus asa daripada menyoal lebih lanjut. 

Sehingga pada satu waktu, hakim menegur peguam pempetisyen yang soalan yang ditanya itu, sepatutnya soalan dari pihak responden. Manakala peguam responden hanya mengambil sikap tidak mahu menyoal saksi sepina Umno itu, kerana tiada apa yang perlu ditanya.

Itu belum saksi daripada dari pihak responden memberikan keterangan. Saya tidak mengatakan bahawa kemenangan telah berpihak samada kepada pempetisyen ataupun responden, tidak. Hakim amat arif dalam menentukan keputusan. Saya hanya menyatakan keadaan yang berlaku ketika perbicaraan berjalan, reaksi saksi, peguam pempetisyen yang saya lihat. 

Manakala peguam responden hanya mengikut tari peguam pempetisyen, tiada serangan agresif kepada saksi-saksi. Itu sahaja. Sehingga kini, tiada juga saksi dari SPRM dipanggil. Tidak diketahui kenapa.

'Sumber' untuk publisiti

Jadi apabila Malaysiakini menggunakan perkataan ‘sumber’ SPRM, saya mulai ragu. Adakah sumber itu mempunyai bukti dan saksi yang kuat? Jika ya, kenapa Umno tidak menjumpainya lebih dahulu, sedangkan nama SPRM disebut beberapa kali dalam mahkamah dan saksi-saksi juga telah disoal siasat oleh SPRM sebelum perbicaraan kes petisyen ini. Dan kenapa juga peguam pempetisyen tidak mensepinakan saksi dari pihak SPRM. Lojiknya begitu, kerana menurut ‘sumber’ SPRM, seperti laporan Malaysiakini, kes ini ada asas yang kuat.

Menurut pengetahuan saya, apabila pemberita menggunakan satu sumber, mereka boleh untuk melindungi sumber tersebut. Jika sekiranya dalam mahkamah sekalipun, sumber boleh samada mahu didedahkan atau tidak oleh pemberita itu. 

Oleh itu, sumber boleh jadi sumber yang benar ataupun sumber yang palsu. Ini kerana, jika kes dibawa ke mahkamah sekalipun, sumber itu masih boleh bersembunyi. Jadi akhirnya, sumber itu tinggal sumber. Tiada yang tahu kecuali penulis, benarkah sumber itu.

Dana dari Israel

Memandangkan Malaysiakini selalu dalam keadaan menyerang PAS melalui laporan dan artikel-artikel mereka, maka saya percaya, dakwaan 'sumber' SPRM itu tidak lebih sekadar untuk menyemarakkan kes rasuah terhadap Presiden PAS khususnya serta PAS secara amnya. 

Sehingga kini, segala puji bagi Allah, PAS belum berjaya dijatuhkan melalui kes rasuah, walaupun begitu bersungguh syaitan-syaitan politik berusaha mencalarkan imej PAS. Namun alhamdulillah PAS kekal dengan pegangan agama Islamnya, bukan retorik.

Lihatlah serangan secara berjemaah, Pakatan Ahzab yang mahu menjatuhkan PAS. Isu rasuah, isu derhaka, isu tauliah, isu agama, isu rasis, isu keganasan, isu salah guna kuasa, tiada tata kelola dan segala isu negatif, mereka tidak merasa penat demi agenda mereka. Apa sahaja perkataan yang boleh memberikan kesan negatif kepada PAS, mereka akan nukilkan. 

Wibawa sebagai pemberita? Maaf, ia sudah hilang semenjak dahulu lagi. Kes rasuah Umno, kini langsung tidak disentuh walaupun portal inilah yang paling kuat menyalak dahulu. Apa lagi kes rasuah DAP dan PKR. Itu belum disebut lagi berkenaan dana PH yang datang dari Israel, sehingga kini sepi tanpa jawapan.

Mohd Nasir Abdullah
14 Mac 2023

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo