Tular surat makluman pelantikan tiga pemimpin politik bagi menerajui agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Tular surat makluman pelantikan tiga pemimpin politik bagi menerajui agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

SHAH ALAM - Empat lagi pemimpin politik dalam Kerajaan Perpaduan dilaporkan dilantik dalam pengurusan tertinggi badan berkanun Persekutuan.

Terbaharu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (RISDA).

Semalam, akaun Facebook rasmi RISDA memuat naik poster ucapan tahniah berhubung pelantikan tersebut, namun tidak lama kemudian ia telah dipadamkan.

Bagaimanapun hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) mengesahkan pelantikan Noraini.

RISDA merupakan sebuah badan berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan ditubuhkan pada 1 Januari 1973 di bawah kuasa yang diluluskan oleh Parlimen.

Sementara itu, pada Jumaat tular di media sosial surat makluman pelantikan tiga pemimpin politik bagi menerajui agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Mereka ialah Pengerusi Biro Pekerja Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga bekas Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid sebagai Pengerusi Lembaga Tekun Nasional (Tekun) manakala Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dilantik sebagai Timbalan.

Bekas Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Bernard Giluk Dompok pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga SME Corp.

Bagaimanapun Mohd Sany ketika dihubungi oleh Sinar Harian berkata, beliau belum menerima sebarang surat berhubung pelantikan tersebut.

“Saya tidak dapat apa-apa surat lagi (pelantikan),” katanya pada Ahad.

Setakat ini belum ada pengesahan daripada mana-mana pihak mengenai pelantikan tiga pemimpin berkenaan.