KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) mendesak Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying meletak jawatan kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa), berkata ini susulan Hui Ying gagal memberikan jawapan ketika sesi soal jawab mengenai soalan dikemukakannya berkaitan isu peruntukan dan mekanisme pemantauan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
"Saya fikir perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen, ...saya meminta Menteri Pendidikan atau timbalannya menjawab soalan nombor 16.
"Sayangnya Timbalan Menteri Pendidikan itu tidak menyediakan jawapan, ini tidak sepatutnya berlaku. Malah saya juga bertanyakan, jika beliau tidak ada jawapan kepada soalan asal, bolehkah dia menjawab soalan tambahan, namun beliau nampaknya tidak bersedia dan hanya datang untuk memenuhi kerusi di sebelah sana.
"Seseorang timbalan menteri itu perlu hadir ke Dewan Rakyat dengan persediaan," katanya dalam sidang media hari ini.
Sebelum ini, tindakan Hui Ying yang gagal menyediakan jawapan ditegur Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor yang menyatakan perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia memberi gambaran tidak baik kepada kerajaan.
Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, jawapan kepada soalan dikemukakannya itu sepatutnya sudah disediakan lebih awal dan dibacakan di Dewan Rakyat hari ini.
"Jawapan sepatutnya sudah ada, tetapi beliau tidak bawa atau baca. Jika nak jadi kerajaan, sepatutnya dua minggu sebelum sidang ini sudah selesai bab jawapan ini," katanya.
No comments
Post a Comment