NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Catatan perbicaraan petisyen PRU15 bagi P037 Parlimen Marang 7 Mac 2023 (sesi pagi):

10.06: Saksi Long Muhammad Sulaiman Long Samshuri masuk mengangkat sumpah bagi memulakan prosiding soal balas oleh pasukan peguam responden.

Saksi ditanya adakah beliau tahu akan kes yang sedang dibicarakan ini. Beliau menjawab yang beliau tahu ialah perbicaraan kerana pemberian wang sewaktu PRU.

Peguam memaklumkan bahawa kes ini adalah berkaitan kes rasuah, sambil membacakan secara ringkas pertuduhan. Peguam turut menyedarkan saksi bahawa saksi telah menerima rasuah jika beliau mengaku menerima duit itu dan implikasinya. Saksi turut ditanya adakah beliau sedar bahawa saksi tiada kekebalan dan boleh didakwa selepas ini atas kes jenayah. Saksi menjawab tiada orang yang memaklumkan beliau.

Saksi ditanya adakah khemah yang beliau lihat pada hari pengundian hanya khemah PAS atau terdapat juga khemah yang lain. Saksi tidak dapat mengingati berapa khemah yang ada mungkin enam atau tujuh. Peguam mencadangkan saksi telah pergi satu khemah ke satu khemah bagi mencari duit pengundi. Ini berdasarkan keterangan awal saksi semalam peguam responden berkata saksi ada menyatakan PRU ini ada peluang buat duit. Saksi tidak bersetuju.

Peguam menyatakan bahawa pihak ketiga yang berjumpa dengan saksi di hadapan khemah, tidak menjanjikan apa-apa habuan kepada saksi. Saksi bersetuju. Peguam juga mencadangkan saksi tidak terpengaruh dengan apa-apa janji apabila beliau hendak membuang undi. Saksi juga bersetuju yang pihak ketiga juga tidak menyatakan siapa yang akan memberi duit di Surau al-Ridhwan.

Saksi dikatakan oleh peguam responden tidak bercakap benar kerana saksi telah ditanya berdasarkan masa yang dipersetujui oleh saksi sendiri bahawa pemberi wang itu sangat sibuk kerana orang yang ramai dan juga waktu yang sangat hampir dengan waktu solat zohor. 

Saksi sendiri mengaku beliau mengambil masa yang sangat singkat bersama dengan pelaku dan pernyataan saksi bahawa pelaku mengaku bahawa Parti PAS ada banyak duit adalah satu kenyataan yang direka. Kenyataan ini dibantah oleh peguam pempetisyen dan diterima hakim.

Saksi bersetuju dengan cadangan peguam responden yang pelaku yang memberikan wang mensyaratkan bersumpah, menunjukkan pelaku hanya ingin memberikan wang pengundi luar itu kepada ahli PAS dan pengundi PAS sahaja. 

Peguam mencadangkan saksi merasa takut ketika bersumpah kerana telah mengikat diri dengan Allah sebab menipu dengan tidak menyatakan maklumat sebenar yang saksi sudah bekerja dan beliau tidak akan mendapat wang itu. Saksi tidak bersetuju walaupun pada mulanya saksi menyatakan kepada peguam responden bahawa beliau merasa takut bersumpah atas nama Allah.

Saksi bersetuju dengan cadangan pada bila-bila masa bahawa beliau tidak merasakan bahawa beliau menerima rasuah daripada pemberi kerana tiada apa-apa tekanan dan hanya merasakan pemberi wang bersikap baik hati.

10.56: Soal balas peguam pempetisyen

Saksi berkata beliau tidak berbohong walaupun mengambil wang pengundi luar yang dikhususkan kepada pengundi luar dan beliau telah menetap lebih kurang 15 bulan di Binjai Berambu setelah habis belajar di Sarawak. Kata saksi lagi beliau ditanya belajar di mana, bukan sudah habis belajar atau belum dan beliau tanpa rasa bersalah, mengambil wang itu.

Yang beliau takut ialah jika undi itu rosak tetapi beliau mengambil wang itu setelah bersumpah. Saksi juga tidak bersetuju bahawa wang itu hanya untuk orang PAS kerana beliau disapa oleh pihak ketiga di hadapan khemah itu sebagai orang awam.

Saksi juga menyatakan kepada mahkamah yang beliau merasakan ada apa-apa yang bakal diperolehi beliau setelah disuruh kembali ke khemah dan seterusnya ke Surau al-Ridhwan. Beliau menyatakan perasaan beliau betul kerana kemudiannya beliau menerima sejumlah wang. Tetapi beliau sebelum itu telah mengaku yang beliau tidak dipengaruhi oleh sesiapa untuk mengundi calon mana.

Saksi kemudiannya dilepaskan oleh mahkamah kerana sudah selesai soal jawab oleh kedua-dua belah pihak. Saksi seterusnya akan dipanggil.

Mahkamah berhenti rehat akan disambung jam 11.45 pagi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo