NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Banjir: Chaah jadi 'pulau', cabaran bomba selamatkan mangsa terputus hubungan



SEGAMAT, 1 Mac (Bernama) -- Pekan Chaah dan kawasan sekitar kini bagaikan ‘pulau’ berikutan jalan perhubungan terputus, sekali gus menjadi cabaran besar bagi agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk menyelamatkan mangsa banjir.

Ada segelintir mangsa banjir termasuk ahli keluarga di luar kawasan tersebut terpaksa beralih kepada media sosial terutama Facebook untuk memohon bantuan pihak berkuasa.

Pemangku Pengarah JBPM Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang mengakui pihaknya mendapat banyak panggilan daripada ahli keluarga menyatakan kebimbangan berikutan saudara-mara mereka masih terperangkap.

“Kebanyakan mangsa meminta bantuan daripada media sosial, dipercayai daripada Chaah, yang kini bagaikan pulau, sehingga menyukarkan kami untuk memasuki kawasan tersebut, akibat jalan dinaiki air.

“Kami kini bekerja keras untuk menjalankan misi menyelamat mangsa banjir termasuk mempertimbangkan tiga jalan alternatif untuk memasuki kawasan tersebut antaranya menggunakan jalan keretapi sedia ada,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

“Kita harap kalau ada mangsa yang guna media sosial, hantar lokasi di mana mereka berada dan jangan panik serta segera berpindah ke tempat lebih tinggi. Kita sedang berusaha sebaik mungkin,” katanya.

Selain Chaah, Mohd Rizal berkata tiada tempat lain terputus hubungan sehingga menyukarkan pihaknya membuat misi penyelamatan.

Terdahulu, tular sebuah video di media sosial seorang wanita memohon bantuan selepas seluruh ahli keluarganya terpaksa memanjat ke bumbung selepas air menenggelami rumahnya di Chaah.

Bernama turut dihubungi seorang wanita bagi meminta bantuan untuk menyelamatkan ibu bapanya yang juga warga emas dan pesakit hypertension.

Wartawan Bernama, Kamarul Halim M Kamal yang berada di kawasan berkenaan sempat keluar daripada kawasan tersebut kira-kira 2 petang tadi selepas dinasihati oleh polis mengenai status banjir di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo