NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahmad Zahid sahkan Sulaiman letak jawatan Ketua Menteri Melaka

BENTONG: Spekulasi pertukaran tampuk kepemimpinan Kerajaan Negeri Melaka  terjawab apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan  peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau sudah bertemu Sulaiman semalam dan menyerahkan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bagi memilih calon Ketua Menteri sesuai.

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya sudah pun menerima surat peletakan jawatan daripada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, Ketua Menteri Melaka.

“Saya akan menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka untuk mempersembah nama calon bersesuaian bagi pelantikan Ketua Menteri yang baharu,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Masjid Al-Falah Kampung Lebu di sini hari ini.


AHMAD ZAHID Hamidi (lima dari kanan) diiring Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (enam dari kanan) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Masjid Jamek Gugusan Felda Mempaga pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Masjid Al-Falah Kampung Lebu di Bentong, Pahang.

Spekulasi peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka yang Ke-13 itu bertiup kencang sejak semalam menyaksikan bakal berlaku perubahan tampuk Kepimpinan Negeri Melaka.

Berdasarkan spekulasi mendakwa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Ahmad Zahid berkata, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Tun Mohd. Ali. menentukan masa sesuai untuk menerima watikah dan majlis angkat sumpah.

Berhubung calon disenarai pendek, beliau berkata perkara itu hanya akan dipersembah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka.

Ditanya sama ada Ab. Rauf disenarai sebagai calon Ketua Menteri, beliau enggan mengesahkan atau menafikan perkara itu. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo