NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Ketua Menteri Melaka: Tunggu pengumuman sedikit masa lagi – Ab. Rauf

MELAKA: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf yang dikatakan akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu pada pukul 3 petang, Jumaat ini meminta pengamal media menunggu pengumuman bakal dibuat oleh ‘mana-mana pihak’ dalam masa terdekat, berhubung khabar angin itu.

Meskipun tidak menamakan secara jelas siapa pihak yang akan membuat pengumuman tersebut, ia dipercayai merujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Ab. Rauf ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Badan Perhubungan UMNO Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini berkata, beliau tidak boleh memberikan sebarang kenyataan berhubung spekulasi berkenaan.

“Saya tidak boleh memberikan apa juga komen tentang spekulasi ini. Kita tunggu pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak yang akan memberikan pengumuman, sedikit sahaja masa lagi,” katanya ringkas.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, spekulasi pertukaran tampuk kepemimpinan Ketua Menteri sekali lagi bertiup kencang hari ini selepas tular maklumat yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp bahawa Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri yang baharu bakal berlangsung Jumaat ini.

Maklumat berkenaan mendakwa, Ab. Rauf akan mengangkat sumpah pada pukul 3 petang, menggantikan penyandang, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan respons Sulaiman selepas mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak berhasil apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu enggan bertemu dengan pengamal media.

Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Nasharuddin Muhammad memaklumkan, Sulaiman tidak bersedia untuk mengulas perkara itu. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo