Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan memfailkan surat tuntutan supaya Rafizi Ramli memohon maaf kerana memfitnahnya sebagai isteri kedua bekas Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, dan terbabit dalam penyelewengan dana bagi projek kapal tempur pesisir (LCS).

Zainab Mohd Salleh, 56, memfailkan surat tuntutan itu menerusi firma guaman, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid, semalam.

Menerusi surat itu, Zainab memberi tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan diterima, untuk Timbalan Presiden PKR itu, memenuhi tiga tuntutan termasuk mengeluarkan satu deraf permohonan maaf berkaitan penyataan fitnah kepada firma itu untuk penerbitan segera.

Kedua, Zainab meminta Rafizi mengeluarkan satu aku janji bertulis bahawa Menteri Ekonomi itu akan berhenti menerbitkan, menulis dan mengeluarkan kenyataan yang serupa.

Rafizi juga diminta mencadangkan satu jumlah ganti rugi yang munasabah kepada ahli perniagaan itu untuk dipersetujui sebelum dibayar serta-merta.

"Penyataan fitnah memberi maksud tersirat dan tersurat atau secara implikasi mendakwa anak guam (Zainab) adalah isteri kedua Latiff.

"Sebagai isteri kedua, anak guam kononnya adalah proksi Latiff dan terbabit untuk mendapatkan kontrak pertahanan, cuba merahsiakan konflik kepentingan serta menggunakan kedudukan Latiff demi kepentingan dirinya.

"Kenyataan fitnah lain anak guam menyalahgunakan serta memanipulasi undang-undang secara tidak bermoral, tidak amanah, korup, tidak berintegriti serta tidak menghormati undang-undang.

"Anak guam didakwa diberikan kuasa untuk mengawal dan menentukan syarikat yang akan mendapat kontrak atau projek daripada Kementerian Pertahanan," kata firma guaman berkenaan.

Pada 22 Ogos tahun lalu, Dr Abd Latiff menafikan wanita dikenali Zainab yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS, adalah isterinya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu menyatakan komitmen untuk memberikan kerjasama jika pihak berkuasa mahu menjalankan siasatan selanjutnya berhubung perkara itu.

Kenyataan itu susulan Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga Dr Abd Latiff.

Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri pemimpin Bersatu itu.

Beliau juga mendakwa siasatan dalaman LCS mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi syarikat, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.

Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid berkata, tindakan Rafizi mengeluarkan penyataan fitnah dengan niat jahat dan didorong motif tidak wajar sekadar tindakan sensasi bagi menjatuhkan reputasi Zainab di mata masyarakat demi kepentingan peribadi serta politik.

Kenyataan fitnah itu turut dibangkitkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang jelas adalah sebahagian daripada bahan kempen.

"Berdasarkan maklumat peribadi anak guam yang dimiliki, Rafizi ada peluang dan medium untuk berhubung secara terus dengan Zainab bagi mendapatkan penjelasan fakta sebelum melaporkan apa-apa pernyataan.

"Sebaliknya, Rafizi memilih untuk mensensasikan perkara itu dengan membuat dakwaan kepada masyarakat awam tanpa sebarang usul periksa dan tanpa bukti dokumen bertulis yang sah daripada mana-mana sumber.

"Adalah jelas bahawa perbuatan Rafizi berniat jahat tanpa sebarang niat untuk mendapatkan kebenaran dan penjelasan daripada anak guam.

"Rafizi juga gagal membuat pemeriksaan latar belakang secara teliti berkenaan identiti sebenar yang dikaitkan dengan Latiff dan bertindak secara melulu dengan mendedahkan maklumat sulit yang jelas mencerobohi hak peribadi anak guam," katanya.

TAMAT