Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan terdapat arahan bertulis yang melarang beliau menghadiri acara rasmi kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pegawai pejabat Menteri Besar Kedah yang melihat sendiri surat berkenaan yang dikeluarkan oleh kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhammad Sanusi berkata, perkara itu bukan sengaja diada-adakan untuk menimbulkan kontroversi, sebaliknya ia benar-benar berlaku.

“Dalam mesyuarat membabitkan sebuah kementerian di Langkawi baru-baru ini, pegawai saya sendiri tengok kertas arahan berkenaan.

“Apabila ditanya kenapa, dimaklumkan tidak dibenarkan bekerjasama dalam program-program kerajaan negeri. Buat apa saya nak bohong, perkara ini memang berlaku,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Tambahnya lagi, semua program yang diputuskan dalam mesyuarat terdahulu sekiranya melibatkan kehadiran beliau diarahkan diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (SUK).

“Saya difahamkan, semua agensi menerima arahan yang sama. Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang merupakan agensi kerajaan bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut menerima arahan sama selepas mesyuarat kabinet diadakan,” ujarnya.

Muhammad Sanusi memberitahu, majlis berbuka puasa Alumni Sekolah Sains Kedah (ASSAK) di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa yang mana beliau merupakan bekas pelajar, turut menerima arahan menghalang kehadiran beliau dalam program berkenaan.

Pada Rabu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu menerusi Facebook miliknya mendakwa dilarang menyertai sebarang majlis anjuran kerajaan Persekutuan, termasuk hadir Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) pada 23 hingga 27 Mei depan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, kelulusan dewan di MAEPS, Serdang, Selangor bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk diadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak Kedah di perantauan yang ditempah pada 9 April juga ditarik balik.

“Kami anjurkan majlis berbuka puasa sahaja, dewan itu pun kerajaan negeri Kedah akan bayar sewa, awat (kenapa) jadi sampai begitu?

“Kedah pun menyumbang kepada negara, hasilkan 43 peratus beras dalam negara. Tak mengapalah, tak payah nak gaduh-gaduh atau kelam kabut, terima sajalah. If you panaih (panas) please don't koyak,” ujarnya sinis.

Muhammad Sanusi berkata, susulan pembatalan sewaan dewan berkenaan, program tersebut akan diteruskan seperti dirancang dan lokasi baharu di ibu negara akan dimaklumkan dalam masa terdekat.