Dari kiri, Datuk Muhamad Jailani Khamis, Datuk Zaidi Attan, Seah Shoo Chin dan Low Chee Leong.
Dari kiri, Datuk Muhamad Jailani Khamis, Datuk Zaidi Attan, Seah Shoo Chin dan Low Chee Leong.

MELAKA: Dua penyandang jawatan dijangka digugurkan daripada barisan baharu EXCO Melaka yang berkemungkinan besar diumum hari ini.

Kedua-duanya adalah bekas EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis dan ADUN Serkam yang juga bekas EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan.

Kekosongan itu dijangka memberi laluan kepada pelantikan wakil Pakatan Harapan (PH), sekali gus membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Ketua Menteri baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Calon dalam kalangan wakil PH membabitkan ADUN DAP yang memegang jawatan kanan dalam parti dan antara yang disebut-sebut ialah Setiausaha DAP Melaka merangkap ADUN Kesidang, Seah Shoo Chin, manakala ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong, dijangka dilantik Timbalan Speaker DUN.

Pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, PH memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkumi DUN Bukit Katil yang dimenangi Adly Zahari dan Leng Chau Yen di DUN Banda Hilir, selain Chee Leong, Chee Yee dan Shoo Chin.

Semalam, Ab Rauf dilaporkan akan mengumumkan senarai EXCO terbaharu dalam tempoh 48 jam dari masa beliau mengangkat sumpah jawatan, mengikut acuan Kerajaan Perpaduan seperti dilaksanakan di peringkat nasional ketika ini.

Bagaimanapun, ADUN Tanjung Bidara itu mengakui belum memperoleh kaedah untuk merealisasikan acuan Kerajaan Perpaduan dalam pentadbiran kerajaan Melaka.

Beberapa penyandang EXCO dijangka dikekalkan iaitu ADUN Paya Rumput yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rais Yasin; ADUN Merlimau yang juga Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh serta ADUN Pengkalan Batu merangkap Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Turut dijangka dilantik semula, ADUN Telok Mas merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta ADUN Ayer Molek yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Rahmad Mariman, selain mengekalkan kuota MIC dan MCA.

Pengerusi MIC negeri VP Shanmugam serta Ketua MCA Alor Gajah, Ngwe Hee Sem juga dijangka dilantik semula sebagai anggota EXCO negeri.

Tiga muka baharu dalam kalangan UMNO dikatakan akan dilantik sebagai EXCO iaitu ADUN Asahan yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Fairul Nizam Roslan; ADUN Rim yang juga Naib Ketua UMNO Jasin, Datuk Khaidirah Abu Zahar serta ADUN Ayer Limau selaku Naib Ketua UMNO Masjid Tanah, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Ab Rauf akan mengumumkan semua senarai EXCO baharu itu petang esok sebelum istiadat mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada Isnin ini.