KUALA LUMPUR- Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) meminta agar Dewan Rakyat mempertimbangkan penggunaan istilah oposisi dan bukannya pembangkang.

Menurutnya, konotasi pembangkang dilihat tidak sesuai kerana menunjukkan sifat yang suka membangkang.

“Ini tidak sepatutnya digunakan di dewan yang mulia ini. Perkataan yang digunakan itu seolah-olah kita nak bergaduh-gaduh. Dalam peraturan mesyuarat di sini, saya lihat kita sebut satu perkataan, iaitu ketua pembangkang.

Saya minta kita buat perubahan. Kita jadi macam adik-beradik dan tidak menempik-nempik. Saya sendiri antara yang cukup hormat, beretika dan lemah lembut."

“Jadi, sewaktu bersidang, kalau boleh saya tak nak kita menjerit. Saya cadang kita tukar perkataan pembangkang kepada oposisi,” katanya sewaktu sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Bagaimanapun, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) bangun mencelah dan menegur Shahidan yang memulakan ucapan dengan ‘tidak cantik’ apabila menggabungkan nama UMNO dan DAP menjadi UMDAP.

“Saya nak sebut perkataan paling lembut untuk Arau. Arau nak perbahasan yang berhemah dan cantik tetapi memulakan perbahasan dengan perkataan dengan tidak baik iaitu menggabungkan UMNO dengan DAP.

“Saya fikir, UMNO mempunyai satu personaliti dan kewibawaan sendiri. Begitu juga DAP ada logik parti sendiri. Saya minta Arau jangan satukan. Bersatu dan Pas juga kita tak satukan, kita sebut PN (Perikatan Nasional),” katanya.

Sebaik sahaja mendengar teguran oleh Jalaluddin, Shahidan kemudiannya menarik balik istilah UMDAP dan menyatakan akan menggunakan perkataan UMNO dan DAP.

Shahidan kemudiannya menambah, di negara jiran iaitu Indonesia, perkataan oposisi digunakan untuk wakil rakyat yang berperanan sebagai semak dan imbang.

“Bagaimana dengan ahli parlimen di sana? Mereka mendapat hak sebagai ahli parlimen tapi kami tak dapat hak sebegitu. Apakah kerajaan yang hebat ini akan memberikan keadilan kepada semua ahli parlimen?” soalnya.