Menurut Menteri Kewangan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri kelapan dan kesembilan itu, tiada apa yang hendak disembunyikan berhubung dana projek itu.

“Ada media tanya saya mengenai Jana Wibawa. Tiada apa yang perlu disembunyikan dan saya sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau malam tadi (18 Februari 2023).

Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengesahkan dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan itu.

Presiden Bersatu itu berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Beliau menjelaskan projek Jana Wibawa sebelum ini dikendalikan oleh pihak Kementerian Kewangan (MoF) dan setiap kelulusan perlu dibuat menerusi kementerian itu, bukannya diputuskan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), tetapi sebaliknya banyak tuduhan dilemparkan terhadapnya kononnya terlibat dalam penyelewengan.

“Jadi proses menimbang pun dan sampai ke peringkat lulus itu tidak melibatkan Perdana Menteri. Ini saya penting nak jelaskan, punca kuasa bukan pada Perdana Menteri tetapi ialah di peringkat Kementerian Kewangan,” kata Muhyiddin.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pula berkata SPRM mungkin memanggil Tengku Zafrul untuk mendapatkan keterangannya berkaitan program berkenaan.

Sebelum ini, bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata beliau tidak pasti sumber mana yang dipetik akhbar dan portal berita yang mendakwa kononnya kontraktor yang diberikan kontrak Jana Wibawa telah menyumbang RM300 juta kepada Bersatu.

Menurutnya Jana Wibawa adalah satu program yang dicadangkan oleh MoF dan diluluskan oleh Kabinet pada tahun 2020.

“Program ini bertujuan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek fizikal yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa wabak Covid-19 melanda.

“Jana Wibawa tiada kaitan dengan dana Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19 bernilai RM530 bilion. Ia adalah projek-projek yang telah tersedia di bawah Rancangan Malaysia yang diluluskan oleh Parlimen.

“Program ini dikhususkan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MoF,” kata Dr Marzuki.