NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penduduk tak tahu projek ECRL di rumah mereka


MEMANDANGKAN beberapa surat bantahan rasmi yang dihantar sebelum ini tidak mendapat sebarang maklum balas, penduduk Taman Sungai Sireh membuat perhimpunan aman untuk menyatakan bantahan mereka.

Mereka tidak tahu menahu langsung mengenai projek tersebut sehinggalah Ogos tahun lalu apabila media massa melaporkan berita mengenai pembinaan ECRL dan melalui portal rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Tidak ada juga mana-mana pihak berkepentingan yang datang memaklumkan secara berjumpa terus atau melalui surat rasmi bahawa Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) akan mengenai rumah mereka.

Projek ECRL yang bermula sejak 2017 ini sedang berlangsung dan akan disiapkan mengikut jadual. Kontraktor projek juga sudah mula membuat kerja mengukur tanah dan penandaan di kawasan taman.

Pewartaan tanah pun telah dikeluarkan dan kediaman mereka akan diambil pihak MRL dan kerajaan negeri, namun penduduk masih tidak dipanggil dan dimaklumkan dengan baik oleh mana-mana wakil.

Bahkan penduduk taman menubuhkan satu jawatankuasa bertindak untuk membuat usaha pertemuan dengan pihak MRL. Hanya setelah itu, penduduk tahu bahawa jajaran projek ECRL ini melalui taman mereka dan jumlah rumah yang akan terkesan. Tiada sebarang maklum balas.

Jika perhimpunan dan memorandum yang dihantar melalui YB Kapar, Dr Halimah Ali ini juga tiada maklum balas, pihak jawatankuasa akan menghantar pula surat bantahan kepada Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri.

Jika tidak berhasil juga, satu perhimpunan aman akan dibuat di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sebelum isu ini lebih menyusahkan dan membuat penduduk lebih kecewa, perlu ada ruang untuk pihak kerajaan dengar suara hati rakyat dan perhalusi semula isu ini jika masih ada harapan kediaman penduduk Taman Sungai Sireh tidak diambil untuk projek ECRL ini.

Rakyat tidak akan membantah sebarang usaha pembangunan dan kemajuan negara, namun kehidupan dan kebajikan rakyat tidak patut dikorbankan tanpa ada pembelaan dan ruang untuk bersuara.

USTAZ MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda 
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor 

– HARAKAHDAILY 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo