PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan sekiranya pelaksanaan projek monorel di Putrajaya diambil alih oleh pihak swasta dari dulu, ia sudah siap dan kemudahan pengangkutan itu boleh digunakan kini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, projek yang diilhamkannya itu terbengkalai sejak 2004, iaitu kira-kira setahun selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Kita sepatutnya boleh berbangga dengan projek monorel ini kerana kita bukan pinjam daripada orang lain. Ia bukan projek ciptaan orang lain tetapi kita punya.

"Saya tidak faham (kenapa projek itu tidak diteruskan) selepas kita membuat keputusan untuk membangunkan projek itu di Putrajaya. Malah, sudah ada jalan untuk monorel itu dan jambatan gantung pun sudah ada," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau difahamkan bahawa projek itu ditangguhkan kerana kerajaan ketika itu tidak mahu meneruskannya atau tiada wang untuk melaksanakannya.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 mendapati berlaku pembaziran dalam pengurusan pembangunan Putrajaya berjumlah RM812.91 juta, setakat 31 Disember 2021.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, dilaporkan berkata pembaziran itu antara lain membabitkan penangguhan projek monorel berjumlah RM797.18 juta, termasuk penyenggaraan terowong pengangkutan awam itu bernilai RM2.16 juta.

LKAN mendedahkan, penangguhan pembangunan mod pengangkutan itu turut memberi kesan terhadap perkhidmatan bas dan penggunaan fasiliti berkaitan di Putrajaya.

Pelaksanaan projek monorel itu meliputi dua laluan, iaitu Laluan 1 sepanjang 13.2 kilometer (km) dan Laluan 2 sepanjang 6km, dengan stesen monorel yang dibina di Terminal Putrajaya Sentral Presint 7 masih belum siap sepenuhnya.


- Bharian