KUALA LUMPUR: Ahli Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) mencapai kata sepakat untuk meletakkan harga lantai pakej umrah ekonomi bermula RM7,800, manakala pakej umrah premium atau VIP bermula dari RM14,000.

Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, persetujuan mengenainya dicapai dalam satu perjumpaan bersama ahli PAPUH di Hotel Grand Barakah (GBH), Ampang, di sini, semalam.

"Perjumpaan bertujuan membincangkan mengenai kenaikan harga tiket penerbangan dan juga hotel penginapan di Madinah dan Makkah.

"Antara dikenal pasti ialah permintaan mengerjakan ibadah umrah yang tinggi jemaah dari seluruh dunia.

"Oleh yang demikian, ahli mencapai kata sepakat untuk meletakkan harga lantai bagi pakej umrah ekonomi bermula dari RM7,800 manakala pakej umrah premium atau VIP bermula dari RM14,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pihak PAPUH berharap supaya bakal jemaah umrah memahami keadaan yang berlaku sekarang di atas kenaikan harga pakej.

Menurutnya, pihak PAPUH juga menyarankan bakal jemaah umrah berhati-hati dalam memilih pakej umrah terutama pada harga yang tidak munasabah untuk mengelak berlakunya penipuan.

- Bharian