Ketua Penerangan Bersatu itu berkata Kit Siang sepatutnya mencermin diri sendiri apabila kini sudah berkahwin secara politik dengan UMNO, malah sanggup menyokong lantikan seorang Timbalan Perdana Menteri yang terpalit kes rasuah dan sedang dibicarakan di mahkamah.

“Tetapi apabila Uncle Lim yang dah bersara terlupa untuk mencermin muka sendiri, saya terpaksa tegur.

“Uncle Lim (Kit Siang) sekarang sudah tidak ada moral standing untuk bercakap soal kredibiliti politik sesiapapun. Apatah lagi untuk mengkritik Perikatan Nasional. Kerana Uncle Lim sebenarnya dah menggadai prinsip perjuangan dan maruah dirinya,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengkritik Kit Siang yang membisu berhubung rundingan yang dibuat antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan UMNO sejak sebelum ini Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan menasihatinya supaya tidak menjadi seorang yang hipokrit.

“Mana suara Uncle Lim ketika Anwar Ibrahim membuat rundingan pintu belakang dengan Presiden UMNO sebelum PRU-15 lagi? Adakah Uncle Lim pun sebenarnya dah lama menjual maruah perjuangan kepada UMNO?

“Mana suara Uncle Lim apabila Presiden UMNO yang masih mempunyai 47 pertuduhan mahkamah dilantik dalam Kabinet sebagai Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Adakah Uncle Lim sanggup terima kleptokrat dan perasuah demi kuasa dan kedudukan?” ujarnya lagi.

Malahan, isu lantikan anak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat yang kecoh baru-baru ini, Kit Siang juga membisu walhal ia secara jelas mempunyai unsur nepotisme yang selama ini diperjuangkan oleh PH.

“Mana suara Uncle Lim dalam isu nepotisme membabitkan Anwar Ibrahim? Adakah Uncle Lim takut orang tersedar bahawa dia juga mengamalkan nepotisme untuk memberi tempat dalam parti kepada anak dan menantu sendiri?” ujarnya lagi.

Jelas Wan Saiful, kecaman Kit Siang terhadap Perikatan Nasional (PN) mungkin kerana setakat ini anaknya, Lim Guan Eng masih belum menerima sebarang jawatan daripada kerajaan campuran.

“Saya faham Uncle Lim terpaksa bercakap walaupun dah bersara sebab setakat ini Anwar belum bagi jawatan kepada anak lelaki harapan Uncle Lim.

“Saya ucapkan good luck, Uncle Lim. Semoga anak dan menantu Uncle Lim diangkat oleh Anwar. Lagipun perangai nepotisme dah lebih kurang sama,” katanya.

- Agendadaily