KUALA TERENGGANU: Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini menolak bantahan awal yang dikemukakan Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional (BN).

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Abdul Hadi (responden) dan Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Jasmira Othman sebagai pempetisyen secara dalam talian hari ini.

Hassan turut memerintahkan Abdul Hadi membayar kos sebanyak RM20,000 kepada pempetisyen.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Abdul Hadi memenangi Parlimen Marang pada PRU15 dengan majoriti 41,729 dalam pertandingan empat penjuru.