Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini menolak petisyen yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) dan mengekalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi (Luham) PAS Pusat, Ahmad Lufti Awang, dalam kenyataan hari ini berkata, Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas turut memerintahkan pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil membayar kos RM30,000 kepada Che Alias.

Beliau berkata, pada prosiding diadakan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom, Mohamad Abazafree memberitahu mahkamah bersetuju dengan satu daripada empat isu bantahan awal yang dikemukakan peguam bela mewakili Che Alias, berkaitan fakta yang diplidkan untuk menyokong dakwaan sogokan dan rasuah pilihan raya yang terkandung dalam petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah.

Katanya, hal ini kerana tujuh program rasmi yang dianjurkan Kerajaan Terengganu iaitu Bantuan i-Belia, i-Siswa dan sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU) serta asnaf tidak mempunyai butiran rasuah atau sogokan, termasuk tiada maklumat penerima dan tiada fakta menunjukkan penerima juga adalah pengundi berdaftar.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Wan Mohamad Hisham mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Pada prosiding itu, Che Alias diwakili peguam Saifuddin Othman, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd Nasir Embong, manakala Wan Mohamad Hisham diwakili peguam Datuk Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Amin Othman, Mohamed Baharudeendan dan Norhazira Abu Haiyan. – BERNAMA