PORT DICKSON: Peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan, tahun ini sebagai langkah mengawal kewangan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan itu akan diselaraskan dengan pejabat daerah dan pegawai kemajuan negeri dan disalurkan secara berperingkat dan mengikut keperluan.

Katanya, ia termasuk untuk projek yang mendesak seperti pembaikan jalan yang rosak dan mendalamkan sungai.

"Peruntukan pembangunan akan diberi secara berperingkat ekoran kekangan ekonomi.

Perdana Menteri menegaskan, jumlah peruntukan itu akan dinilai semula apabila keadaan ekonomi dan kewangan negara bertambah baik pada masa akan datang.

Anwar berkata ketika ditemui pemberita selepas beliau meluangkan masa untuk makan tengah hari di Warung Pak Salleh, Kampung Baru Sirusa, di sini, hari ini.

Turut mengiringi beliau, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, keputusan itu diambil berikutan beliau sangat tegas dalam isu tatakelola, rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, ia termasuk berkaitan kewangan parti politik seperti siasatan yang dijalankan terhadap akaun BERSATU ketika ini.

"Apa juga alasan, kamu (pemimpin BERSATU) kena jelaskan kepada rakyat, bagaimana parti politik boleh melakukannya. Bagaimana dalam keadaan COVID-19, ketika orang tiada kerja, tiada wang, parti boleh kumpul ratus-ratus juta.

"Kemudian, guna isu (memberi) tekanan... jawablah, betul atau tidak ada RM300 juta dalam akaun? Jika betul ada, dari mana? Mengapa boleh kumpul begitu banyak wang untuk parti dalam keadaan orang tiada kerja dan susah, bantuan terbatas dan projek dibatalkan," katanya.