NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu LRT di ibu negara kerap rosak, pakar dedah alasannya

Suasana stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang di Stesen Hang Tuah pada Rabu lalu berikutan perkhidmatan LRT Laluan Ampang di antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandar Raya mengalami gangguan disebabkan penjajaran landasan bengkok. - BERNAMA/FAIL


KUALA LUMPUR: Malaysia didakwa tidak mempunyai pakar teknikal, khusus untuk pengangkutan awam menjadi punca beberapa perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) sering rosak dan gagal dibaiki hingga kini.

Ia juga menyebabkan Laluan Ampang antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandar Raya sering kali terganggu dan menyukarkan ribuan pengguna perkhidmatan awam khususnya pada waktu puncak.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua, berkata negara sepatutnya sudah memiliki sekumpulan pakar teknikal tempatan yang boleh menyelesaikan masalah itu dalam tempoh segera kerana membabitkan kerugian besar kepada negara dan rakyat.

Katanya, ketika ini, Malaysia hanya menggunakan teknologi yang dibawa negara luar, namun tiada kepakaran untuk menyelesaikan masalah, walaupun LRT sudah lama digunakan di sini, lebih 20 tahun lalu.

"Justeru, sudah tiba masanya, Kementerian Pengangkutan membentuk satu kumpulan pakar teknikal supaya pada masa hadapan jika berlaku perkara ini, kita boleh memperbaiki sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada negara luar.

"Budaya ini perlu ada supaya pada masa hadapan, projek gergasi yang sedang dibangunkan di negara ini dapat diselesai dengan mudah tanpa mengharapkan orang luar kerana kita ada kepakaran yang boleh dipercayai," katanya kepada BH.

Pada 27 Januari lalu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan, perkhidmatan LRT laluan Ampang-Sri Petaling mengalami kelewatan disebabkan penjajaran landasan bengkok berhampiran stesen LRT Bandar Raya.

siasatan menyeluruh oleh sebuah syarikat perunding kejuruteraan ke atas kerosakan struktur viaduct dan pier yang retak sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kerosakan dan dijangka akan selesai dalam tempoh dua minggu.

Ganggu struktur tanah 

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Haryati Syafii, mengakui wujud kekhuatiran sekiranya sesuatu projek pembinaan yang membabitkan pemasangan cerucuk, dilakukan bersebelahan landasan.

Beliau berkata, penanaman cerucuk kebiasaannya akan membabitkan gangguan kepada struktur tanah dan laporan awal perlu disediakan sebelum kerja pembinaan dijalankan untuk memastikan ada langkah kawalan.

"Sebab itulah dalam setiap projek pembinaan, perlu ada tiga fasa, iaitu pra pembinaan, pembinaan dan pasca pembinaan yang perlu mendapat kelulusan dengan pelbagai kesan diambil kira demi keselamatan pekerja, orang awam dan persekitaran.

"Bagaimanapun, saya berpendapat, kekurangan dari sudut memperhalusi projek pembinaan pada peringkat pra pembinaan itu sendiri yang memberi kesan kepada persekitaran.

"Bayangkan jika kita kita sedari dari awal pembengkokan jajaran itu, ia boleh babitkan risiko keselamatan dan tidak boleh dikompromi langsung," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hentikan pembinaan projek itu adalah tepat di bawah pengurusan risiko untuk memastikan siasatan lanjut dijalankan dengan lancar.

"Buat masa ini, siasatan sedang dijalankan yang mana adakah ia disebabkan oleh projek pembinaan atau disebabkan faktor teknikal.

"Di sini, amatlah penting juga untuk memastikan penyelenggaraan dilakukan secara berkala, tahunan ataupun berdasarkan kes untuk memastikan kualiti bangunan, rel atau apa-apa saja berada dalam keadaan baik.

"Sebab itulah perlunya pemantauan, penyelenggaraan bagi mengelakkan kemalangan akibat kecuaian. Masyarakat juga perlu sentiasa cakna dengan isu keselamatan, keselesaan dan jangan menuding jari selagi mana ia berada dalam siasatan," katanya.


Sumber I BH Online



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo