NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Belanjawan reformasi mana? 100 PH-BN. DAP & peniaga. – Syahir Sulaiman



1. Belanjawan 2023: Janji reformasi yang dinanti

BELANJAWAN terbesar dan meneruskan tren pengembangan (expansionary). Sejumlah RM388.1 bilion diperuntukkan tahun ini berbanding peruntukan asal RM372.3 bilion yang dibentangkan sebelum pembubaran Parlimen.

Perbelanjaan operasi berjumlah RM289.1 bilion dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM99 bilion, dengan anggaran pertumbuhan KDNK 4.5 peratus bagi tahun 2023.

Jangkaan pendapatan lebih rendah iaitu RM291.5 billion berbanding anggaran 2022 iaitu 292.7 bilion. Defisit fiskal diunjurkan pada 5.0 peratus berbanding KDNK, lebih rendah daripada anggaran 2022 iaitu 5.6 peratus.

Jumlah perbelanjaan mengurus sudah menghampiri jumlah hasil kerajaan pada paras 99%. Ini bermakna, setiap hasil yang dipungut kerajaan hanya cukup untuk menampung kos pengurusan kerajaan, dan situasi ini adalah berisiko terhadap keupayaan fiskal sekiranya terdapat kenaikan kos di luar jangkaan atau kutipan hasil jauh lebih rendah daripada yang dianggarkan.

Apa yang boleh disambut baik? Penegasan supaya rasuah dan penyelewengan akan dihentikan. Komitmen untuk mengawal paras hutang. Ketelusan dalam perolehan kerajaan. Pengenalan cukai barangan mewah dan subsidi bersasar. Peranan waqaf dalam pembangunan negara. Pewujudan akta perlindungan pemberi maklumat, tanggungjawab fiskal. Inisiatif pendapatan rakyat dan pengupayaan golongan miskin. Bantuan kepada B40 dan M40.

Sebahagian besarnya adalah penerusan atau peluasan program sedia ada.

Apa yang boleh dipersoalkan? Pemberian wang ehsan kepada Kelantan dan Terengganu yang tidak mencerminkan semangat federalisma yang matang, di samping pendirian terbaru Kerajaan Persekutuan berkenaan hak royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu yang dinafikan. Malah agihan perbelanjaan pembangunan (DE) kepada negeri-negeri pembangkang tidak menunjukkan petanda yang positif.

Persoalan utama yang perlu dibangkitkan, sejauh mana Belanjawan 2023 boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan, dan meringankan beban hidup rakyat? Selain itu, adakah strategi yang diambil menepati sasaran, adakah inisiatif baharu yang diambil mencukupi, dan adakah masih ada ruang yang boleh diperbaiki?

Pastinya perincian kepada persoalan ini akan dicerakinkan dalam sesi perbahasan kelak.

Terlebih penting adalah kualiti penyampaian dan keberkesanan segala bantuan dan projek yang diumumkan, diikuti proses pemantauan berterusan, dipandu oleh kecekapan dan integriti yang tinggi di pihak kerajaan, tanpa sebarang unsur pilih kasih dan ‘sabotaj ekonomi’ yang tidak melambangkan agenda perpaduan dan slogan madani.

Manakala akses dan kecaknaan rakyat terhadap segala bantuan kerajaan perlu dipertingkatkan, bagi memastikan Belanjawan 2023 dapat diagih secara saksama, dan dikongsi secara bersama.

Pemulihan dengan pembaharuan.

Perlu diingatkan, matlamat utama sesebuah perancangan pembangunan adalah untuk memberi nilai tambah (value-added) dan limpahan berganda (multiplier-effect) bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan dayasaing negara, seterusnya memastikan kemakmuran ekonomi dinikmati secara lebih adil dan saksama.

Selain itu, pemulihan ekonomi perlu menjadi ‘batu lonjakan’ kepada pembaharuan ekonomi. Inilah peluang keemasan untuk penyusunan semula struktur ekonomi negara, khususnya bagi menangani permasalahan kemiskinan, pendidikan dan kemahiran tempatan, kelestarian alam, sekuriti makanan, keupayaan globalisasi, dan ketinggian integriti.

Adalah amat mendukacitakan sekiranya kita mampu memulihkan semula ekonomi negara, namun hanya kembali ke tahap sosio-ekonomi sebelumnya, tanpa membawa sebarang ‘perubahan struktural’ dan ‘budaya ekonomi baharu’ bagi mendepani cabaran mendatang yang pastinya lebih mencabar.

Dengan izin, “Recovery without reforms is a waste”.

SYAHIR SULAIMAN
Ahli Parlimen Bachok
Parlimen
24 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 24/2/2023



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo