NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Warisan cadang 3 fasa tunai hak Sabah di bawah MA63

Ahli Parlimen Kota Belud merangkap Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis.


KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menggariskan tiga fasa pelaksanaan tuntutan hak Sabah yang belum ditunaikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk dilaksanakan Kerajaan Perpaduan.

Fasa pertama ialah pelaksanaan segera, diikuti pelaksanaan sebelum pembentangan Bajet 2023 bagi fasa kedua dan pelaksanaan ketika persidangan Parlimen Ke-15 iaitu pada Penggal Pertama dan Kedua Parlimen menerusi fasa ketiga.

Ketua Wirawati WARISAN, Isnaraissah Munirah Majilis, berkata menerusi fasa pertama, tumpuan diberi kepada perkara yang tidak memerlukan pindaan akta dan sudah dibincang dalam Majlis Jawatankuasa Khas Kabinet berkaitan MA63.

Katanya, tujuh perkara digariskan dalam fasa pertama didahului dengan semakan semula Warta PU (A) 119 bertarikh 20 April 2022 berkaitan Pemberian Khas kepada Sabah di bawah perkara 112D agar selari dengan formula pemberian semula dua perlima atau 40 peratus hasil Persekutuan kepada kerajaan negeri.

"Seterusnya ialah menubuhkan Jawatankuasa Kerja di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak bagi memantapkan mekanisme kolaborasi pelaksanaan projek persekutuan di kedua-dua wilayah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, cadangan seterusnya ialah melantik wakil negeri pengeluar minyak dalam Anggota Majlis Penasihat Petroleum Negara (MPPN) dan kedudukan mereka perlu setaraf dengan majlis di peringkat kebangsaan seperti Majlis Tanah Negara dan Majlis Kewangan Negara.

Ahli Parlimen Kota Belud itu turut mencadangkan penubuhan tabung atau akaun amanah pembangunan Sabah dan Sarawak bagi merapatkan segera jurang pembangunan antara Semenanjung dengan kedua-dua negeri.

"Kelima, memulakan gerak kerja khas bagi mencari pendekatan baharu dalam merancang pembangunan Sabah dan Sarawak (90 peratus projek kendalian Kerajaan Persekutuan terbengkalai di Sabah atau hanya 38 peratus peruntukan pembangunan yang diumumkan setiap tahun kepada Sabah dan Sarawak digunakan pada tahun semasa)," katanya.

Dua lagi cadangan yang digariskan dalam fasa pertama ialah memberi peruntukan lebih besar kepada ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira keluasan kawasan Parlimen, selain menambah bilangan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak supaya mewakili 35 peratus daripada kerusi Parlimen di Malaysia sejajar semangat MA63.

Isnaraissah berkata, bagi fasa kedua, tumpuan dicadangkan kepada perkara yang tidak membabitkan pindaan akta atau hanya pindaan kepada arahan pentadbiran dan pekeliling Perbendaharaan.

Cadangan pertama dalam fasa kedua itu, katanya, ialah menetapkan setiap butiran perbelanjaan yang akan dibelanjakan untuk Sabah dan Sarawak disenarai dengan lebih jelas dalam anggaran perbelanjaan Persekutuan supaya mudah dipantau.

"Kedua, kita mencadangkan kerajaan meminda pekeliling Perbendaharaan (PB 2.6 dan PB 2.5) dengan melarang 'viremen' dan pindah peruntukan ke atas perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi butiran berkaitan Sabah dan Sarawak (cadangan pelaksanaan bagi tempoh lima hingga 10 tahun).

"Ketiga, jika dalam keadaan tertentu yang tidak dapat dielakkan, pekeliling perbendaharaan boleh membenarkan pindahan peruntukan dilakukan dengan syarat kelulusan daripada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak perlu diperoleh terlebih dahulu," katanya.

Katanya, satu lagi cadangan fasa kedua ialah memastikan lebihan peruntukan pembangunan yang tidak dapat dibelanjakan pada tahun semasa, disimpan dalam tabung atau akaun amanah pembangunan Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan peruntukan tahunan tahun berikutnya.

Isnaraissah berkata, bagi fasa ketiga, antara perkara utama dicadang ialah menyelesaikan isu perundangan mengenai empat perkara berkaitan petroleum iaitu royalti minyak dan bayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah (Akta 750), dan Hak Negeri ke atas Pelantar Benua.


Sumber I BH Online



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo