NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Piala AFF: Thailand berjaya halang Malaysia ke final

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya melepaskan peluang terbaik untuk mengesahkan slot ke final apabila tewas 3-0 kepada Thailand pada aksi separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Stadium Thammasat, sebentar tadi.

Selepas menang 1-0 pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu, skuad Gajah Perang yang membawa misi pertahankan kejuaraan membuktikan mereka lebih layak untuk mara ke final dengan kejayaan 3-1 secara agregat.

Dalam perlawanan ini, pengendali negara, Kim Pan-gon membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama dengan menyenaraikan Azam Azmi Murad, Fazly Mazlan, Nor Hakim Hassan dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Sekalipun hanya melakukan satu pertukaran di posisi penjaga gol dengan memasukkan Kampon Phatomakkakul bagi menggantikan Kittipong Phoothawchuek, tuan rumah dilihat begitu ghairah untuk menafikan kelebihan satu gol dimiliki Malaysia dan berjaya menguasai hampir keseluruhan permainan.

Seperti dijangka, Thailand kekal agresif dengan mengatur asakan bertali arus ke gawang negara dan minit ke-19, kapten tuan rumah, Theerathon Bunmathan melakukan umpanan ‘secukup rasa’ yang berjaya disambut baik oleh Teerasil Dangda untuk meledak gol pembukaan perlawanan.

Jaringan itu menjadikan peluang kedua-dua pasukan kembali seimbang sambil tuan rumah langsung tidak mengendurkan asakan sebaliknya kekal memberikan tekanan kepada barisan pertahanan negara.

Sebaik memasuki minit ke-38, Darren Lok bijak mengatasi kawalan pertahanan lawan sebaliknya tandukan dilakukannya menuju tepat kepada Kampon.

Bersambung babak kedua, sudah ada keberanian dipamerkan pemain negara untuk mengatur gerakan sebaliknya minit ke-55, kelekaan pertahanan negara mengundang padah apabila Bordin Phala menambah gol kedua buat Thailand.

Walaupun Pan-gon kembali memasukkan Safawi Rasid bagi menggantikan Fazly, minit ke-71 Harimau Malaya makin tertekan apabila penyerang import baharu Terengganu, Adisak Kraisorn meledak gol ketiga Thailand. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo