NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pakar ramal lebih ramai akan muflis jika OPR naik lagi dan lagi

Pakar meramalkan lebih ramai akan muflis sekiranya Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan sehingga 3.25 peratus bulan ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan berhubung kadar OPR adalah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM), ia merupakan kenyataan bertentangan semasa berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Pakar meramalkan jumlah individu muflis jboleh mencecah lebih 30,000 kes tahun ini kerana semakin ramai peminjam tidak mampu membayar ansuran bulanan jika OPR dinaikkan.

Jumlah itu berdasarkan kepada jangkaan pertambahan sebanyak 10,000 lagi kes individu muflis pada tahun ini selepas 20,258 kes dicatatkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 antara 2020 hingga November 2022.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, jika kadar OPR dinaikkan lagi bulan ini, bayaran pinjaman boleh terus meningkat berdasarkan kadar tahun lalu.

Menurut beliau, ia akan menyebabkan lebih ramai yang tidak dapat menanggung komitmen masing-masing sehingga akhirnya berdepan risiko bankrap.

“Kadar OPR akan memberikan kesan besar terutama kepada pinjaman kadar berubah dan pinjaman jangka panjang seperti pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi bernilai lebih RM100,000.

“Seperti tahun lalu, kenaikan kadar OPR dibuat empat kali menyebabkan kenaikan kadar bayaran kira-kira RM300. Ditambah dengan komitmen lain, jika sampai satu tahap peminjam tidak mampu, maka pemberi pinjaman boleh ambil tindakan memfailkan tuntutan terhadap peminjam, jadi memang ada risiko peningkatan kes bankrap tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif pula menjangkakan peningkatan kes bankrap tahun ini diburukkan lagi dengan kelemahan pihak bank menguruskan hutang peminjam.

“Kerajaan perlu meningkatkan kerjasama dengan pihak bank supaya hutang boleh di­selesaikan dengan cara lebih baik kerana mereka perlu jangka bahawa jumlah peminjam mening­kat pada masa akan datang.

“Ini tidak, ada yang bertindak melelong harta peminjam dan menjualnya dengan harga rendah begitu sahaja. Hampir setiap hari ada kes begini. Ini satu perkara yang amat serius kerana ramai sudah terseksa dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Beliau meminta kerajaan campur tangan dalam isu bankrap yang akan membelenggu lebih ramai rakyat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kita minta tolong Perdana Menteri memainkan peranan beliau supaya berbincang de­ngan institusi perbankan me­lalui suatu kerjasama. Kalau bankrap, bank bukan dapat apa-apa. Lebih baik kalau pe­minjam bayar dalam 30 hingga 50 peratus daripada bankrap terus. Bankrap tak selesaikan apa-apa,” katanya. AD



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo