NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nasihat Jabatan Mufti Selangor mengenai ubat HIV tidak tepat, kata badan pemikir

Azrul Mohd Khalib berkata rawatan menggunakan ubat PrEP mempunyai kadar keberkesanan 99 % dalam mencegah jangkitan HIV malah telah tersedia di negara ini sejak akhir 2017.


PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir kesihatan menepis nasihat Jabatan Mufti Selangor berhubung pemberian ubat PrEP (Pre-Exposure prophylaxis) yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan Dan Sosial menyifatkan nasihat berkenaan sebagai tidak tepat dan mungkin mengelirukan orang ramai.

“Menafikan atau menyediakan akses terpilih kepada PrEP adalah tidak baik, amalan buruk dan tidak mempunyai asas dalam kesihatan awam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Mohd Khalib dalam kenyataan.

Azrul mengulas nasihat disiarkan di sesawang Jabatan Mufti Selangor yang mengatakan pemberian Prep kepada individu mengamalkan gaya hidup songsang adalah dilarang kerana bersubahat dalam perkara dosa dan maksiat.

Menurutnya, pengambilan atau pemberian ubat itu hanya diharuskan kepada pasangan suami isteri.

Azrul berkata, adalah penting untuk memastikan campur tangan kesihatan untuk menangani keutamaan kesihatan awam seperti HIV/AIDS dan terkini, Covid-19 adalah berdasarkan bukti, hak dan realiti masyarakat.

Menurutnya, pengalaman pahit lalu membuktikan kepercayaan, pertimbangan dan sikap yang diambil dalam kira dalam pelaksanaan sesebuah program lebih banyak mendatangkan bahaya berbanding kebaikan.

“Ia memberi kesan kepada komuniti tersebut, atau lebih teruk lagi, mendatangkan kemudaratan dan menghalang mereka daripada bantuan dan rawatan diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, rawatan itu mempunyai kadar keberkesanan 99% dalam mencegah jangkitan HIV, malah ia telah tersedia di negara ini sejak akhir 2017.

“Kami tahu apa yang berkesan dan mempunyai kesan, dan apa yang tidak. Kita perlu dibimbing sains, penjagaan berpusatkan pesakit dan pengalaman orang ramai serta komuniti memerlukan perkhidmatan sedemikian,” katanya.

Azrul mengesyorkan Jabatan Mufti Selangor mengkaji semula kedudukannya dalam isu itu dan berunding dengan pakar penyakit berjangkit dan kesihatan awam untuk meningkatkan pemahamannya mengenai perkara itu.

Pada 1 Dis lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa ia sedang berusaha meningkatkan penggunaan PrEP dengan menyediakannya secara percuma di klinik kesihatan awam terpilih di negeri yang mempunyai jumlah kes tinggi bermula dari Januari 2023.


Sumber I FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo