NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mbappe pengganti Pele

Pele (kiri) dan Mbappe saling mengagumi antara satu sama lain.


LEGENDA Brazil, Pele mudah didekati dan sering disenangi pemain lain tetapi mungkin beliau paling mengagumi bintang muda Perancis dan Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe.

Sejak kali pertama dia tampil pada 2017, penyerang muda Perancis itu mula mendapat sanjungan demi sanjungan daripada O'Rei sendiri.

Mereka bertemu beberapa kali secara individu dan membentuk satu ikatan persahabatan yang menarik.

Mbappe sering kali menganggap Pele sebagai GOAT (pemain terhebat sepanjang zaman) yang sebenar sekalipun idolanya semasa kecil adalah Cristiano Ronaldo dan beraksi di samping Lionel Messi di PSG.

Setiap kali ada perkembangan berita mengenai keadaan kesihatannya, Mbappe orang pertama yang akan menghantar mesej kepada Pele.

Di samping hubungan persahabatan yang semakin terjalin, Pele turut menyaksikan banyak ciri-ciri dalam dirinya sendiri apabila beliau menonton aksi Mbappe.

Menjadi hanya pemain remaja kedua dalam sejarah bola sepak untuk menjaringkan gol pada peringkat kalah mati Piala Dunia di belakang Pele hanya satu daripada beberapa persamaan mereka.

Mbappe mempunyai hampir semua ciri-ciri yang pernah dimiliki Pele semasa beliau masih muda dan dia juga mengetuai satu generasi baharu bersama pasukan kebangsaan Perancis.

Pele adalah seorang daripada bakat terhebat pernah disaksikan dalam satu generasi bola sepak. Mbappe juga mengharungi pengalaman serupa bersama Les Bleus.

Ketika Pele beraksi di samping beberapa pemain bintang Selecao, Mbappe turut melakukan perkara sama apabila dia berpeluang bermain di samping beberapa bintang menakjubkan Perancis.

Bagaimanapun, ada beberapa perbezaan kecil antara kedua-duanya yang membuktikan betapa bakat yang dimiliki mereka terlalu mengagumkan.

Purata jaringan Pele jauh lebih baik berbanding Mbappe pada usia yang sama. Mbappe hanya beraksi di Perancis setakat ini manakala Pele sering bermain di Brazil walaupun beliau berpindah ke Amerika Syarikat di penghujung kariernya.

Namun memandangkan dia masih mempunyai sekurang-kurangnya dua Piala Dunia untuk beraksi di peringkat tertinggi, anda boleh jangkakan Mbappe mungkin mampu meraih tiga kejuaraan Piala Dunia seperti Pele ketika zaman kemuncaknya.

Satu lagi aspek boleh diperkatakan mengenai kedua-duanya adalah Pele menjaringkan dua gol pada final apabila Brazil memenangi kejuaraan mengalahkan Sweden pada 1958.

Mbappe sendiri melakar hatrik tetapi tidak mencukupi buatnya untuk memenangi trofi menentang Argentina diketuai Messi pada Qatar 2022. Perancis tewas 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 3-3 dalam 120 minit.

Bercakap mengenai rakan sekelabnya di PSG, Messi mencipta dan memperbaharui banyak rekod Piala Dunia namun Mbappe bersedia mengancam untuk melenyapkan semua rekod itu dengan peluang yang dimilikinya selepas ini.

Mbappe setakat ini bertuah kerana tidak mengalami kecederaan serius yang boleh menjejaskan kariernya dan membolehkan kita menikmati persembahannya pada tahap tertinggi sepanjang kariernya dan meneruskan legasi yang ditinggalkan O'Rei.

Pele adalah penjaring gol liga paling berjaya di dunia dengan 678 gol dalam liga. Secara keseluruhan, legenda Brazil yang meninggal dunia tiga hari lalu menyumbat 1,283 gol dalam 1,363 perlawanan termasuk aksi persahabatan tidak rasmi dan perlawanan jelajah.

Ia disenarai dalam buku Guinness World Records sebagai gol terbanyak karier dalam sejarah bola sepak dunia.

Mbappe, pada usia 24 tahun, sudah meraih satu kejuaraan Piala Dunia di Russia 2018 dan mengumpul 195 gol dalam 289 penampilan.


Sumber I BH Online



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo