NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Majlis ulama tak mampu pulih imej ‘calar’ Umno, kata ahli akademik

Veteran parti Dusuki Ahmad (kiri) dilantik sebagai pengerusi Majlis Ulama Umno, yang penubuhannya mahu disegerakan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar Facebook Ahmad Zahid Hamidi)

PETALING JAYA: Majlis Ulama Umno tidak mampu memberi kesan besar sekiranya parti tidak melaksanakan reformasi dan menyelami sentimen pengundi, kata ahli akademik.

Syed Arabi Idid daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, Umno berdepan masalah menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan tidak nampak apa yang dimahukan pengundi daripada parti itu.

Beliau mengakui Majlis Ulama itu mempunyai potensi membawa perubahan dan memberikan sumbangan yang besar.

“Namun, selagi isu akar seperti imej, politik wang dan naungan tidak diselesaikan pada peringkat pimpinan tertinggi, majlis itu tidak akan membawa kesan besar,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pembentukan Majlis Ulama Umno, yang dicadangkan 12 tahun lepas dan kini diketuai veteran Umno Dusuki Ahmad.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mahu penubuhan majlis itu disegerakan.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, pembentukan majlis itu adalah sebagai respon terhadap “gelombang hijau” dibawa Perikatan Nasional-PAS, yang dapat dilihat pada PRU15 November lepas/

“Bagaimanapun, sudah terlambat untuk menyelamatkan imej Umno daripada dakwaan menjadi parti rasuah. Sekiranya parti itu mahu menggunakan majlis itu untuk meningkatkan imej Islamiknya, terma dan syaratnya mestilah jelas,” katanya.

Fauzi turut mempersoalkan sama ada majlis terbabit akan bebas daripada campur tangan pemimpin tinggi.

“Jika ada pimpinan parti didapati bersalah kerana rasuah, bolehkan majlis itu ‘memencilkan’ mereka, jika mereka yang bertanggungjawab menubuhkan (Majlis Ulama) dan melantik ahlinya?”

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, pembentukan Majlis Ulama Umno itu bertujuan untuk mendekatkan parti itu dengan masyarakat Melayu menjelang PRN tidak lama lagi.

Ini susulan prestasi buruk Umno pada PRU15, yang hanya sekadar menang 26 kerusi.

Menurut PAS, PN berjaya mendapatkan sokongan 54% pengundi Melayu, berbanding Barisan Nasional sebanyak 33%

“Ini langkah awal Umno mengukuh dan memperbaiki imejnya dari sudut pandang Islam. Majlis itu juga ditubuh sebagai sokongan kepada parti,” kata Awang Azman.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo