NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahkamah Persekutuan batal kelulusan projek lereng bukit di Pulau Pinang

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membatalkan kelulusan yang diberikan kepada sebuah pemaju perumahan bagi projek perumahan di lereng bukit di Pulau Pinang.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Mohd. Zabidin Mohd. Diah dan bersidang bersama-sama Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila berpihak kepada Sunway City (Penang) Sdn. Bhd. (Sunway City).

Panel terbabit turut mengarahkan Sunway City dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang dinamakan sebagai responden agar masing-masing membayar kos sebanyak RM300,000.

Pada 20 November 2015, Lembaga Rayuan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa (TCPA) 1976 membenarkan bantahan penduduk Sungai Ara, Pulau Pinang terhadap kelulusan projek dan kebenaran merancang yang diberikan oleh MBPP kepada pemaju terbabit.

Bagaimanapun, Sunway City memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan itu yang mana pada 29 Mei 2017, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membatalkan keputusan Lembaga Rayuan dan mengesahkan kelulusan yang MBPP.

Pada 21 Mei 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan terbabit selepas menolak rayuan penduduk. Kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan diperoleh penduduk pada 30 November 2021.

Terdahulu, sewaktu membacakan penghakiman ringkas panel terbabit, Hakim Nallini menyatakan mahkamah terdahulu telah terkhilaf apabila gagal mengambil kira tujuan sebenar Pelan Struktur Pulau Pinang 2020 yang dengan jelas melarang sebarang penggunakan kawasan berbukit bagi sebarang tujuan pembangunan seperti perumahan, hotel, komersial mahupun perladangan.

“Ini sejajar dengan objektif utama Pelan Struktur terbabit. Pengecualian terhadap larangan itu perlu dilihat dari sudut tujuan dan secara terhad agar tidak menyimpang daripada Pelan tersebut yang mana objektif utamanya adalah untuk memelihara kawasan berbukit, mengelakkan degradasi dan mengekalkan keseimbangan ekologi.

“Oleh itu kami merumuskan bahawa kelulusan oleh pihak berkuasa tempatan bagi permohonan Sunway bagi kelulusan perancangan adalah ultra vires (melangkaui undang-undang) dan terbatal,” jelas Hakim Nallini.

Selain itu, hakim itu menyatakan pihak berkuasa tempatan (PBT) selaku entiti yang bertanggungjawab mengeluarkan kelulusan perancangan bertanggungjawab mematuhi peruntukan TCPA.

Hakim Nallini berkata, di bawah Seksyen 22 (2A) (c) Akta Perancangan Bandar dan Desa (TCPA) 1976, jawatankuasa perancang negeri dalam mempertimbangkan permohonan kebenaran merancang, bertanggungjawab untuk meminta nasihat daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).

Ini kerana permohonan itu membabitkan pembangunan yang menjejaskan lereng bukit di kawasan yang ditetapkan sebagai sensitif alam sekitar dalam pelan pembangunan.

MBPP meluluskan permohonan Sunway City pada 21 Februari 2012 untuk kebenaran merancang bagi membina 600 unit rumah termasuk 13 blok kondominium dan banglo tiga tingkat atas tanah seluas 32.69 hektar, yang 43 peratus terdiri daripada tanah bukit.

Kedudukan tapak itu melebihi 76 meter dari aras laut dengan kecerunan melebihi 25 darjah.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu disertai peguam, Datuk Dr. Gurdial S. Nijar bagi pihak penduduk manakala responden-responden diwakili peguam-peguam Christine Siew dan Karen Lim. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo