NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan PN semakin diterima baik dalam kalangan masyarakat Cina- MB Perlis

KANGAR: Penerimaan masyarakat Cina terhadap pimpinan kerajaan negeri dibawah Perikatan Nasional (PN) semakin baik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Walaupun pada peringkat permulaan sebahagian masyarakat Tionghoa mungkin gusar dengan pimpinan PN di negeri ini, namun perubahan terhadap penerimaan tersebut dapat dilihat secara jelas menerusi beberapa pendekatan turun padang dilakukan pimpinan gabungan tersebut sebelum ini.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, buat masa ini, tiada lagi sebarang kegusaran dalam kalangan masyarakat Tionghoa terhadap pimpinan kerajaan PN di Perlis dan pihaknya memberi jaminan tidak akan meminggirkan mana-mana kaum di negeri ini.

“Kerajaan negeri tidak akan melihat perbezaan dalam kalangan semua kaum dan kami berharap agar seluruh masyarakat juga dapat membantu menyalurkan maklumat bagi membolehkan segala urusan atau permasalahan dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bersempena Sambutan Tahun Baharu Cina di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah barisan Exco kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis.

Dalam majlis berkenaan, Mohd Shukri berkesempatan memberi sumbangan kepada 200 penerima masyarakat kaum Tionghoa sempena Tahun Baharu Cina pada Ahad ini.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, pihaknya juga berharap agar semua kaum dapat bersatu-padu menjaga keamanan dan kesejahteraan di negeri ini.

“Kita perlu bersama-sama menjaga negeri ini terutamanya dalam aspek kebersihan bagi memastikan rakyat dapat hidup dengan lebih harmoni,” katanya.

Sementara itu, ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, kerajaan negeri telah membuktikan komitmen mereka dalam menyantuni semua kaum di Perlis dan pihaknya berharap agar usaha itu dapat berkekalan.

Tambah beliau, kerajaan negeri dan pembangkang di Perlis akan bersama-sama memegang prinsip bagi menyantuni semua kaum tanpa meminggirkan mana-mana pihak dalam usaha untuk memajukan seluruh rakyat.

“Kami akan bersatu hati demi rakyat Perlis dan bekerja dengan lebih baik pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo