KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengakui tidak tahu mengapa dirinya bersama sembilan lagi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) digelar sebagai pengkhianat kerana menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ini kerana, Bendahari Agung BN itu berkata mereka sudah pun mengikut ketetapan parti dengan menarik semula semula sokongan masing-masing.

"Hingga hari ini saya tak tahu apa sebabnya kita dituduh sebagai pengkhianat. Saya cukup yakin bahawa apa yang telah berlaku, tidak ada benda yang patut kita apologetik sehingga dituduh mengkhianati perjuangan parti.

"Kalau mereka nak ambil tindakan, ambillah tak ada benda yang saya perlu bimbang," katanya ketika ditemui media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang antara lain turut menyentuh mengenai gerakan sulit selepas PRU-15 termasuk membabitkan tindakan 10 Ahli Parlimen BN itu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin menegaskan beliau dan sembilan Ahli Parlimen BN itu bukan pengkhianat kerana tindakan mereka selaras keputusan asal UMNO yang menolak kerjasama dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRU-15.

Katanya, semua 10 Ahli Parlimen itu akur pabila UMNO dan BN membuat keputusan baharu untuk berkecuali dalam pembentukan kerajaan, sebelum mengubah pendirian untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

"Tak ada apa yang saya perlu bimbang kerana kita konsisten sebelum ini. Peringkat awal, usaha nak bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) bercanggah dengan pendirian parti sendiri, jadi kita buat SD (akuan bersumpah) berkenaan.

"Tapi bila parti dah membuat keputusan kita berkecuali pada satu ketika, kita tarik balik SD berkenaan.

"Lepas itu bila Yang di-Pertuan Agong bertitah dan kita bersetuju mewujudkan Kerajaan Perpaduan, itu adalah kehendak parti, maka kita bersetuju. Jadi di mana pengkhianatannya," katanya.

Beliau juga menggesa semua pihak berhenti memainkan polemik dan mendakwa 10 Ahli Parlimen itu mengkhianati parti kerana pihak luar didakwa bosan dan muak dengan pertelagahan berkenaan.

"Saya harap apa yang dapat kita bincangkan dalam PAU tahun ini ialah hala tuju dan bagaimana kita mengurangkan jurang serta defisit kepercayaan dalam kalangan orang ramai terhadap parti dan perjuangan.

"Itu lebih baik daripada hanya menggunakan platform ini untuk bercakaran, berbalah sesama kita, tuduh-menuduh, serang-menyerang sesama kita. Sudahlah, cukup-cukuplah," katanya.

Hishammuddin sedia cabar dua jawatan utama parti

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata beliau sedia mencabar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan pada pemilihan UMNO akan datang.

Keputusan sama ada jawatan Presiden atau Timbalan Presiden yang akan direbutnya hanya akan diputuskan selepas Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) memutuskan sama ada dua jawatan itu dipertandingkan atau sebaliknya.

"Kita kena tunggu mesyuarat PAU kali ini. Kalau sekiranya keputusan PAU hari ini ada pemilihan, saya sendiri tidak keberatan untuk memikirkan bertanding dalam pemilihan akan datang," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapan dasar PAU 2022 hari ini, menyerahkan kepada perwakilan persidangan itu untuk menentukan sama ada dua jawatan tertinggi berkenaan akan dipertandingkan atau sebaliknya.

Pemilihan UMNO perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu, selaras pindaan perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti di semua peringkat diadakan tidak lebih dari enam bulan selepas diadakan sesuatu PRU Parlimen.

Polemik mengenai isu itu timbul selepas beberapa pimpinan UMNO menggesa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan bagi menjaga perpaduan dan kekuatan parti.

Namun, kumpulan pimpinan yang lain pula mendesak supaya semua jawatan dipertandingkan bagi menjaga demokrasi dalam UMNO, selain mahu pembaharuan dalam parti itu selepas mencatat keputusan buruk dalam PRU15.

Kelmarin, seramai 140 ketua UMNO bahagian tampil menyokong dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan kerana parti perlu bersolidariti bersama Ahmad Zahid untuk berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Susulan itu, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin, yang dikatakan bakal mencabar satu daripada dua jawatan berkenaan, menggesa 'kegilaan itu dihentikan'.

"Hentikan kegilaan ini, saya rasa presiden seorang fighter (pejuang) yang tidak gentar menghadapi pencabar," katanya menerusi Instagram semalam.