NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gelombang Melayu undi PN bukan bersifat sementara, penganalisis beritahu PH

Penganalisis Azmil Tayeb melihat PN menawarkan alternatif yang boleh dipercayai kepada Umno.
PETALING JAYA: Pakatan Harapan akan tertipu dengan menganggap gelombang sokongan yang diterima Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum November lalu hanyalah bersifat sementara, menurut dua penganalisis.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata “jumlah besar” pengundi Melayu melihat PN sebagai alternatif yang boleh dipercayai kepada Umno dan PH, di mana kedua-duanya kini bekerjasama.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM), berkata lonjakan sokongan kepada PN pada PRU15 tidak boleh dilihat bersifat sementara dan gabungan itu akan berusaha untuk meneruskan gelombang berkenaan biarpun di kubu kuat PH di Selangor dan Pulau Pinang.

“Saya menjangkakan PN akan terus membuat gelombang dalam pilihan raya negeri (PRN), terutamanya di kerusi majoriti Melayu,” kata Azmil kepada FMT. “Sukar untuk melihat trend itu berbalik semula dalam masa terdekat kerana ini banyak bergantung kepada prestasi ekonomi kerajaan Anwar Ibrahim.”

Beliau melihat PN menawarkan alternatif yang boleh dipercayai kepada Umno di kalangan orang Melayu, walaupun untuk penyokong lama Barisan Nasional (BN).

“Terdapat juga kemungkinan besar ramai penyokong Umno-BN dan PH tidak mengambil bahagian dalam PRN, sekaligus memberikan kemenangan mudah kepada PN,” katanya.

“Pilihan raya Padang Serai adalah petunjuk yang jelas bahawa ramai penyokong PH dan Umno tidak berminat dengan perikatan ini.”

Awang Azman berkata beliau menjangkakan PN akan mengadakan kempen yang terancang untuk enam PRN tahun ini.

“Di sebalik reaksi terhadap permainan kaum dan agama PN, ini tetap menjadi senjata terbaik dalam menghadapi kerajaan perpaduan,” katanya.

Pada Ahad, Pengarah Penerangan dan Komunikasi PH Kedah Ismail Salleh menyuarakan rasa yakin gabungan itu boleh merampas Kedah daripada PAS dalam PRN.

Sambil menolak kejayaan PN pada PRU15 bersifat sementara, Ismail mendakwa pengundi PN berubah hati selepas menyedari gabungan itu bergantung pada isu perkauman dan agama untuk meraih sokongan.

Pilihan raya akan diadakan di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah tahun ini kerana mereka tidak membubarkan DUN mereka seiring dengan pembubaran Parlimen untuk PRU15.

Azmil berkata kerajaan Anwar Ibrahim, jika mahu menangani gelombang sokongan kepada PN dengan berkesan, ia mesti menguruskan ekonomi dengan baik dengan mengurangkan kos sara hidup, mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi subsidi kepada belia dan kumpulan pendapatan B40.

Awang Azman berkata nampaknya terdapat sedikit pergerakan daripada PH dan BN dalam menentang naratif PN.

Beliau memberi amaran kepada mereka supaya tidak berdiam diri terlalu lama, dengan berkata pentadbiran enam negeri menjadi taruhan.

Beliau berkata PH mesti lebih agresif dalam memberi respon terhadap PN melalui fakta dan angka di media sosial termasuk TikTok.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo