UMNO kini dilihat tidak mampu lagi menjaga kepentingan bangsa Melayu apabila terus diam terhadap rancangan menteri DAP yang mahu menempatkan pegawai Singapura di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya.

Justeru, Ketua Penerangan Bersatu Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan mengingatkan rakyat bahawa UMNO kini telah bersujud kepada DAP demi kepentingan peribadi dan kuasa.

Beliau turut mempersoalkan apa akan jadi kepada nasib Bumiputera, khususnya bangsa Melayu, apabila DAP membawa masuk acuan dari Singapura yang pernah dilakukan pada peringkat kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Rakyat mesti sedar bahawa UMNO terus diam dan bersujud kepada DAP, walaupun dalam isu besar yang membabitkan pemilikan hartanah Bumiputera seperti ini. UMNO sudah rosak dan mandul setelah bersekedudukan dengan DAP.

“Sekarang masa untuk rakyat bersama Bersatu dan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini (25 Januari 2023).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan pelbagai pihak berhubung keputusan Menteri KPKT daripada DAP, Nga Kor Ming yang membenarkan pegawai Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura, ditempatkan di kementeriannya.

Tindakan itu juga akan menjadi ancaman keselamatan yang besar sekiranya tidak diberi perhatian kerana sudah pasti, pakar-pakar Singapura yang ditempatkan di kementeriannya akan memperoleh pelbagai data dan maklumat berkaitan penduduk, demokrafi, geografi dan sosio ekonomi, khususnya bangsa Melayu.

Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman menyatakan kebimbangan disebalik keputusan kerajaan tersebut yang mempunyai muslihat dengan memberi contoh senario yang sudah berlaku di Pulau Pinang.

“Saya bimbang ada ‘grand design’ politik yang besar di sebalik usaha ini, kita tahu DAP sudah lama membawa masuk model HDB Singapura dan HKHA Hong Kong di Pulau Pinang.

“Lihatlah apa jadi kepada Pulau Pinang dan pemilikan hartanah di sana. Agenda halus yang disusun menyebabkan ramai yang hanya mampu melihat rumah atau projek pembangunan, khususnya di kawasan pulau, sedangkan orang lain membelinya,” kata Faiz.

Mengulas lanjut Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasik Gelugor berkata jika dikaji apa yang PH telah lakukan di Pulau Pinang setelah mereka belajar dari Singapura dan Hong Kong, memang rakyat perlu bimbang kerana kelompok terbesar dalam kerajaan hari ini ialah DAP.

“Ambil Pulau Pinang yang ditadbir DAP sebagai contoh. Hari ini milikan tanah Melayu di Timur Laut Pulau Pinang cuma 1.16 peratus, suatu jumlah yang teramat kecil. Daerah Barat Daya Pulau Pinang pula hanya tinggal 15 peratus milikan orang Melayu dan peratusan ini sedang mengecil saban tahun.

“Mengikut kajian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang pada 2010, 55 peratus daripada hartanah di Pulau Pinang dimiliki orang Cina. Orang Melayu hanya memiliki 27 peratus.

“Kita perlukan data terkini untuk 2023 tetapi apa yang jelas ia menunjukkan pemilikan hartanah Bumiputera yang jauh terkebelakang sudah sekian lama.

“Di peringkat Persekutuan pula, pemilikan hartanah Bumiputera adalah kecil,” katanya lagi.

Wan Saiful berkata transaksi rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersial yang direkodkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara menunjukkan hanya 36.3 peratus dimiliki Bumiputera.

“Apa akan jadi kepada nasib Bumiputera jika acuan HDB Singapura seperti dilakukan oleh DAP yang disokong UMNO Pulau Pinang hari ini diimplimentasikan pula di peringkat Persekutuan di bawah PH-BN?

“PH sedang memasang lukah di penggentingan. Rakan-rakan dalam Bersatu sudah sedar dan sudah bangkit. Saya rayu rakyat menyokong usaha kami dalam Bersatu berkaitan isu ini,” katanya.