NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wakil Rakyat perlu ‘disekolahkan’ elak Parlimen jadi sarkas

PETALING JAYA: Modul Sekolah Parlimen wajar diperkenalkan bagi memberikan pendedahan sebenar kepada suasana perjalanan urusan sidang Dewan Rakyat dalam kalangan wakil rakyat khususnya yang baharu di samping mengetahui proses penggubalan undang-undang di samping mengelakkan Parlimen menjadi gelanggang sarkas.

Pengarah Strategik Forward Malaysia, Jazlie Baharudin berkata, apa berlaku di Parlimen baru-baru ini yang menyaksikan provokasi dan penggunaan perkataan tidak sepatutnya memberikan gambaran bahawa wujud keperluan agar Parlimen Malaysia mengadakan modul khas untuk menerangkan perjalanan urusan Dewan Rakyat dalam kalangan ahli Parlimen.

Ujarnya, cadangan itu sama sekali tidak bertujuan merendahkan martabat dan kedudukan wakil rakyat, namun wajar diperkenalkan bagi memberikan pendedahan sebenar kepada suasana dan dinamik sebenar di dalam Dewan.

“New Zealand antara negara yang memperkenalkan sekolah Parlimen dalam memastikan lebih 35 ahli Parlimen baharu negara itu dapat memahami disiplin dan kaedah sebenar dalam melaksanakan urusan di Parlimen. 

“Langkah pentadbiran Parlimen negara itu mengadakan kursus khas termasuk memanggil kalangan bekas ahli Parlimen memberikan nasihat, pandangan dan petua dalam mengendalikan urusan penggubalan undang-undang wajar dicontohi oleh Parlimen Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegur ahli-ahli Parlimen supaya untuk menjaga adab dan susila masing-masing serta tidak melanggar batas peraturan yang ditetapkan semasa persidangan Dewan Rakyat dan tidak dijadikan sebagai tempat sarkas.

Dewan Rakyat yang berlangsung baru-baru ini kecoh apabila wakil rakyat mempertikaikan pembentangan usul percaya kepada Perdana Menteri yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pertikaian yang berlarutan sehingga sesi perbahasan usul itu turut menyaksikan beberapa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang masing-masing mengeluarkan perkataan tidak berparlimen, ‘bodoh’, ‘beruk’ serta ‘penyamun’.

Dalam pada itu, Jazlie menambah, usaha untuk meminda banyak undang-undang yang disifatkan lapuk dan usang mesti dimulakan dengan kemahiran berdebat dan berbahas dalam kalangan ahli Parlimen bagi melihat kepada setiap inci perubahan diinginkan sejajar semangat dan keghairahan melaksanakan reformasi dan penambahbaikan institusi.

Justeru beliau melihat Modul Sekolah Parlimen wajar diperkenalkan sebelum sidang akan datang setelah melihat kepada sikap beberapa wakil rakyat dan seakan-akan meletakkannya sebagai satu keperluan yang mendesak. 

“Memang benar, dokumen Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat merupakan domain awam dan boleh diakses bila-bila masa, namun dinamik sebenar di dalam dewan adakalanya tidak seperti yang dimuktamadkan di dalam naskhah peraturan. 

“Di sebahagian negara maju Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat juga bukanlah sesuatu yang bersifat statik dan tidak berganjak. Parlimen United Kingdom misalnya mempunyai ikhtiar menambah baik peraturan mesyuarat yang dikaji dan diperbaharui secara berkala,” katanya.

Beliau menjelaskan jika usaha berlaku, Parlimen ke-15 akan memberikan nafas yang serba baharu kepada Parlimen Malaysia sekali gus kembali dihormati oleh setiap rakyat. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo