Perkahwinan politik antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) yang tidak disangka menjadi kenyataan nampaknya bukan sahaja mengelirukan penyokong mereka, malah pemimpin atasan parti juga seakan hilang hala tuju.
Keputusan untuk menjalinkan hubungan intim politik sehingga ke pembentukan sebuah kerajaan campuran menyebabkan kedua-dua gabungan itu yang mempunyai ideologi berbeza dilihat agak kekok dan belum dapat membiasakan diri dengan rentak politik baharu.
Jika sebelum ini kedua-dua gabungan itu menjadi seteru politik tetapi kini perlu duduk sepentas dan kempen bersama.
PH yang sebelum ini lantang mengkritik UMNO berhubung salah laku dan penyelewengan dilakukan mereka, kini terpaksa pula mempertahankan parti tersebut yang kini menjadi rakan strategik baharu mereka.
Begitu juga dengan UMNO, jika sebelum ini dalam kempennya banyak menghentam PH juga terpaksa mengubah cara dan budaya politik baharu dengan menjadi lebih mesra DAP.
Dalam erti kata lain, kedua-dua gabungan perlu menjilat satu sama lain untuk dilihat serasi di mata rakyat bagi menjaga kepentingan politik masing-masing.
Bukan sahaja pemimpin atasan terpaksa menyesuaikan diri dengan rakan baharu UMNO mereka, tetapi penyokong akar umbi juga terpaksa duduk semeja dan satu khemah bersama untuk menyejukkan hati orang ramai.
Pemimpin PH juga tidak boleh lagi mengeluarkan perkataan label melabel seperti kebiasaan mereka lakukan semasa berkempen sebelum ini, rakyat pasti rindu untuk mendengarkan kata-kata “penyamun” dan “mat sakau” yang sering meniti di bibir pemimpin PH semasa berceramah.
Dalam pada itu, pemimpin UMNO juga perlu menjaga mulut mereka daripada mengkritik PH sebagai pengkhianat agama dan bangsa, malah tidak ada lagi kritikan terhadap musuh utama mereka, DAP seperti kebiasaan dilakukan dalam ceramah mereka.
Paling lucu, pemimpin PH perlu duduk sepentas dengan penyamun yang didakwa mereka punca kecurian wang rakyat semasa kempen pilihan raya kecil yang sedang berlangsung di Padang Serai dan Tioman ketika ini.
Malam tadi, Presiden parti Amanah, Mohamad Sabu yang dianggap ayam sabung PH juga nampaknya sudah tumpul taji apabila ucapannya tidak lagi setajam seperti sebelum ini, malah mengakui terpaksa menuruti pendirian gabungan tersebut untuk bekerjasama dengan UMNO.
Dalam siaran langsung semasa berkempen di Rompin malam tadi, Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu itu seakan tidak mempunyai idea yang hendak disampaikan kepada hadirin yang berada dalam ceramah dan terpaksa memuji rakan UMNO baharunya bagi menjaga hati mereka agar tidak terguris.
Malam tadi bukanlah Mat Sabu yang asli, jelas ternampak tindak-tanduknya yang dilihat tidak mempunyai hala tuju untuk memberi penerangan kepada akar umbi.
Hanya retorik politik digunakan Mat Sabu dengan menyifatkan kerjasama PH dengan UMNO adalah demi semata-mata bagi menstabilkan negara dan mengelak krisis politik berpanjang.
Penerangan oleh Mat Sabu semalam agak klise dan suram, jadi tidak hairanlah ceramah malam tadi berakhir awal dan kehadiran para penyokong juga agak tidak memberangsangkan.
Ternyata tidak mudah untuk menukar karakter membangkang kepada membodek dengan serta-merta, tambahan zikir Mat Sabu sebelum ini adalah “UMNO, UMNO, rasuah, rasuah” yang agak sinonim dikalangan rakyat bawahan.
Namun, ilmu menyamun yang diwarisi UMNO sejak berdekad-dekad mungkin boleh dituntut para pemimpin PH memandangkan sudah menjadi rakan politik baharu.
Kisah-kisah silam lampau sengketa lama mungkin sudah boleh dipadamkan daripada memori dan membuka lembaran baharu.
Isu-isu rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO mungkin sudah boleh disucikan dan dibersihkan selepas perkahwinan politik antara kedua-dua gabungan politik.
Bak lagu yang tular dalam media sosial, “Selamat pengantin baharu”.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment